suria

Bukan suami tak izin tapi bimbang keluarga terabai - Irma Hasmie

Irma Hasmie tidak pernah melupakan bidang lakonan namun tumpuannya kini kepada suami dan dua cahaya mata mereka. Foto FAIHAN GHANI

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Irma Hasmie memberitahu 'kehilangannya' daripada radar dunia lakonan bukan disebabkan tidak mendapat keizinan daripada suami, Redza Syah Azmeer Mohd Redzuan.

Sebaliknya kata ibu kepada dua cahaya mata ini, Redza sentiasa memberi sokongan sekiranya dia ingin kembali berlakon namun merasakan sekarang bukan masa sesuai untuk berbuat demikian.

"Sejak dari awal lagi suami tidak pernah halang pun malah dia sokong tetapi sejak berkahwin dan ada anak-anak tumpuan saya lebih kepada mereka.

"Tambahan pula waktu berada di lokasi adakalanya tidak menentu dan saya bimbang tak dapat berikan komitmen selain bimbang keluarga pula terabai.

"Insya-Allah suatu hari nanti jika tiba masanya saya pasti akan kembali berlakon," katanya.

Irma bahagia disamping suami dan anak-anak. Foto Instagram @irmahasmie

Dalam pada itu, Irma berkata, kali terakhir dia berlakon sekitar empat tahun lalu dan dia turut mengakui berasa rindu untuk kembali merasai keseronokan berada di set penggambaran.

Malah kata Irma, sehingga hari ini dia masih menerima undangan berlakon namun terpaksa menolak dengan baik kerana ada di antaranya memerlukan dia berada di luar Kuala Lumpur.

"Baru-baru ini Abang Rashid Sibir ada telefon tawarkan saya satu watak drama arahannya... Memang teruja juga dengan peranan itu tetapi jadual yang padat dan fikir anak-anak saya terpaksa tolak.

"Sekarang pula saya tiada pembantu untuk tolong uruskan anak-anak dan buat semuanya sendiri dengan bantuan suami," ujarnya.

Pun begitu kata Irma, dia masih lagi setia mengendalikan program bual bicara Assalamualaikum di TV Al Hijrah yang memasuki tahun kelapan.

"Alhamdulillah masih bersama Assalamualaikum... Macam tak percaya pula sudah lapan tahun saya kendalikan program itu.

"Jadual pun kebiasaannya akan keluar lebih awal jadi saya boleh rancang rutin harian dan tidak menggangu waktu bersama keluarga," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain