suria

Ramai terpedaya… video pergaduhan Zoey, Shah Gegar hanyalah ‘prank’ hari jadi

Shah (kanan) menjelaskan video pergaduhannya dengan Zoey Rahman sekadar 'prank'.

SEJAK malam tadi pengguna media sosial dikejutkan dengan video perang mulut pelakon Zoey Rahman dan penyampai Gegar FM iaitu Shah Mohammad apabila kedua-dua selebriti berkenaan berkongsi rasa tidak puas hati masing-masing.

Malah di laman Instagram kedua-dua mereka juga dipenuhi dengan pelbagai mesej yang kebanyakannya tekejut sambil ingin tahu peristiwa sebenar menyebabkan penyampai radio itu memuat naik video insiden berkenaan.

Di laman Instagram Zoey pula, terdapat rakan-rakan artis antaranya Ayu Damit dan Zahiril Adzim memberi reaksi mereka serta peminat meninggalkan komen pelakon itu seorang yang berbudi bahasa, manakan dia sanggup bertindak kurang ajar seperti didkawa.

Nampaknya netizen terpedaya dengan video tersebut kerana apa yang disaksikan itu hanyalah sekadar lakonan semata-mata atau 'prank' (video usikan).

Posting Zoey malam Selasa menimbulkan tanda-tanya netizen.

Shah atau dikenali Shah Gegar, penyampai segmen Gegar Pagi itu berkata, tujuan asal video berkenaan ialah untuk mengenakan rakan penyampainya Anna sempena hari lahir wanita itu.

"Bukan gimik atau mencari publisiti murahan, kami hanya ingin 'prank' Anna sempena hari jadi dia.

"Zoey sudah tahu perkara ini dari awal lagi dan memainkan peranan," ujarnmya kepada mStar Online, pada Rabu.

Shah diminta mengulas tentang video berdurasi satu minit memperlihatkan Zoey enggan memberi kerjasama yang baik kepada pihak di stesen radio tersebut.

Video yang dimuat naik di Instagram penyampai tersebut mendapat lebih 400 komen yang meminta mereka berdamai.

Dalam pada itu, Shah berkata, dia mendapat kerjasama baik daripada Zoey yang memainkan karakter tersebut sejak menjadi tetamu Gegar Pagi.

"Zoey tidak biadab, dia juga bimbang nak bawa karakter tersebut tapi dia seorang pelakon yang baik, dia bawa watak itu sampai bukan Anna sahaja terkena malah orang di sekeliling pun fikir perkara itu betul-betul terjadi.

Zoey Rahman dikenali sebagai seorang yang berbudi bahasa.

"Malah, Feyra iaitu salah seorang yang berada dalam video tersebut turut terkena tempias, dia terpaksa tukar nama IG kerana terima kecaman," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Kandungan Gegar, Raja Nadia Salwana berkata, video penuh rakaman itu akan disiarkan pada pukul 4 petang Rabu di laman Facebook Gegar menjelaskan situasi sebenar kejadian tersebut.

Katanya, biarpun tidak menjangkakan video berkenaan menjadi tular, namun ia memberi kesan positif kepada stesen radio yang dahulunya dikenali sebagai THR.

"Kita tak rancang atau buat gimik pun, tapi bila sudah tular ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pendengar tentang nama baru THR yang kini dikenali sebagai Gegar," ujarnya.

Shah dan Anna mengendalikan segmen Gegar Pagi setiap Isnin hingga Jumaat.

Zoey Rahman, Shah Gegar

Artikel Lain