suria

Dah 2 kali jadi juara, Bocey ada sebab sertai MLM 2018

Bocey mahu mengasah bakat mereka sebagai pelawak menerusi program MLM. Foto Instagram: @bocey_official.

KUMPULAN lawak Bocey sekali lagi menyertai program Maharaja Lawak Mega (MLM) bukan kerana mahu mengekalkan gelaran juara yang pernah dimenangi mereka dua tahun berturut-turut.

Salah seorang ahlinya iaitu Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata dia menganggap pentas MLM 2018 merupakan satu-satunya platform untuk mereka mengembangkan bakat sebagai pelawak.

Selain itu, program tersebut juga memberi peluang untuk mereka mengasah bakat dan belajar perkara baharu mengenai lawak jenaka.

"Sejujurnya kami sertai program MLM 2018 bukan disebabkan nak menang atau nak kekalkan gelaran juara dan bukan juga untuk sekadar suka-suka saja.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiro, Bocey & Zero antara peserta MLM 2018


Barisan peserta dan pengacara MLM 2018.

"Tapi ini sahaja platform kami sebagai pelawak untuk kembangkan dan mengasah bakat kami serta dapat belajar benda baru. Lagipun, kami masih anggap diri baharu dalam bidang ini.

"Macam penyanyi atau pelakon mereka ada tempat untuk sentiasa ada. Tapi pelawak, program seperti ini sahaja yang boleh untuk kami," kata Abam kepada mStar Online.

Bocey ditemui ketika sidang media Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) di Palace of Golden Horses Hotel di sini, pada Selasa lalu.

Selain Abam, Bocey turut dianggotai oleh pelawak dan penyanyi Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 32 dan Fad atau Muhamad Fadzlie Mohd Nizam, 28.

Bocey rancang keluarkan lagu mengenai mereka bertiga.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2013 itu sebelum ini merangkul gelaran juara dua MLM dua tahun berturut-turut iaitu pada 2016 dan 2017.

Dalam setiap kemenangan itu mereka mendapat wang tunai RM500,000.

Menerusi MLM 2018, Bocey akan berentap dengan 12 peserta iaitu kumpulan Puteh, Shiro, Masin, Abioso, Abata, Kiut, Joras, Taman, Zero, Chilok dan peserta solo, Dany dan Hilmy Ashley.

Dalam pada itu, Bocey mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sebuah single sejak awal kemunculan mereka dalam industri namun masih belum menjumpai lagu yang sesuai.

"Memang dari awal pembabitan Bocey dalam industri ini kami ada rancang nak keluarkan sebuah lagu berkenaan dengan diri kami bertiga.

"Tapi hasrat itu sampailah sekarang tak terlaksana lagi. Mungkin kami belum jumpa lagi lagu yang betul-betul sesuai untuk kami bertiga," kata Fad.

Bocey, Abam, Fad, Achey

Artikel Lain