Farid Kamil gagal dapatkan pasport dari mahkamah - Hiburan | mStar

Farid Kamil gagal dapatkan pasport dari mahkamah

Mahkamah menolak permohanan Farid Kamil untuk dapatkan pasport atas urusan kerja ke luar negara.

PETALING JAYA: Permohanan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil bagi mendapatkan sementara pasportnya atas urusan ke luar negara ditolak Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat.

Menerusi laporan Bernama, Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu selepas Farid, 37, tidak mengemukakan dokumen sokongan berhubung permohonan tersebut.

Sebelum ini, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid mengemukakan permohonan itu atas alasan anak guamnya akan ke luar negara untuk menjalani penggambaran filem.

Dalam prosiding sebutan semula lima pertuduhan jenayah yang dihadapi Farid, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula 27 Nov depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil terpaksa tangguh bedah lutut


Farid hadir ke mahkamah bersama isterinya, Diana Danielle.

Malah, Farid yang ditemani isterinya, Datin Diana Dianelle ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata dia memerlukan pasport itu bagi urusan kerja.

"Sebagai pelakon, sememangnya saya perlukan pasport antarabangsa untuk urusan lain.

"Kini aktiviti lakonan saya juga terbatas kerana masih terikat dengan prosiding mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon Lagenda Budak Setan itu akur dengan keputusan yang telah ditetapkan dan memahami prosedur mahkamah.

Di hadapan Majistret Salamiah Salleh, mahkamah menetapkan 26 sehingga 29 Nov untuk perbicaraan kes laporan palsu yang dihadapinya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Farid akur dengan keputusan mahkamah.

Pada 16 Jan lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ashraf Ahmad, 35, seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24, seorang anggota polis.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid dituduh  menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam sebagai seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas sebagai pegawai polis dengan niat menghalang beliau menjalankan tugasnya yang sah di sisi undang-undang.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Muhammad Nizam.

Manakala pada 25 Jan lalu, Farid turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Dia didakwa sekali lagi atas pertuduhan membuat keterangan palsu bersabit satu laporan polis pada 9 Mac lalu.

Farid Kamil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain