suria

Elite perjelas ketiadaan Watie Sadali sertai Gegar Vaganza 5

Elite bakal menggegarkan pentas Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang bakal bermula 30 September ini. Foto LOW LAY PHON

PENGUMUMAN kumpulan terkenal era 1990-an, Elite bakal berentap menerusi Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang bakal bermula pada 30 September ini membuatkan peminat teruja untuk menyaksikan aksi lincah mereka di pentas pertandingan itu.

Pun begitu, ketiadaan kelibat Watie Sadali menyertai tiga lagi rakannya, Azza, Sasha Saidin dan Linda Rafar pada sidang media pengumuman barisan peserta GV5 yang diadakan Rabu lalu membuatkan ramai tertanya-tanya punca pelakon itu tidak menyertai mereka.

Bagaimanapun Azza mewakili Elite menjelaskan Watie sepatutnya menyertai mereka untuk pertandingan itu namun pertembungan jadual lakonannya yang terlebih dahulu dibuat menyebabkan dia tidak dapat memberikan komitmen.

"Memang asalnya Watie mahu menyertai kami semua malah dia cuba untuk menyusun semula jadualnya tetapi nampaknya rezekinya bukan bersama kami.

"Projek drama yang dia sedang berlakon melibatkan episod panjang dan ramai pelakon lain, jadi dia perlu menghormati masa orang lain kerana sedar tidak akan dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

Elite berjanji akan beri persembahan terbaik buat peminat.

"Sebelum mendatangkan masalah lain atau ada orang cakap belakang dia terpaksa menarik diri untuk bersama-sama kami di GV5 namun tetap menyokong kami," katanya.

Dalam pada itu, Linda berkata, walaupun Watie tidak bersama mereka namun berjanji untuk melakukan terbaik demi mengubati rindu peminat yang ingin menyaksikan mereka kembali bersatu.

"Buat masa sekarang kami sedang memantapkan vokal selain giat melakukan latihan bagi mendapatkan stamina ketika di pentas.

"Alhamdulillah walaupun tanpa Watie setakat ini tiada sebarang masalah malah kami sudah tidak sabar untuk mengadakan persembahan," katanya.

Sementara itu, Sasha berkata, mereka terbuka dan bersedia dengan sebarang kritikan yang bakal diberikan oleh pihak juri kerana ia untuk kebaikan mereka.

Barisan 12 peserta Gegar Vaganza musim kelima.

"Insya-Allah kami keras sebab semenjak di awal kemunculan kami dahulu sudah terbiasa kena dengan KRU... Mereka lagi garang!

"Kritikan itu pasti ada tetapi kita mesti positif kerana mungkin daripada teguran itu kami dapat memperbaiki diri," jelasnya.

Selain Elite, dua lagi kumpulan yang bakal berentap adalah Forteen dan pasangan duo, Billy Zulkarnain manakala peserta solo disertai oleh Amelina, Safura Yaakob, Noryn Aziz, Farawahida, Dia Fadilla, Hetty Sarlene dan Maya.

Vokalis kumpulan Slam, Zamani dan Shafie (Rio) mewakili peserta lelaki.

GV5 bakal bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini dan ia turut disiarkan di Astro Ria dan Ria HD.

Elite, Gegar Vaganza 5

Artikel Lain