suria

Tabung oksigen nyawa Bob Lokman, jual nasi ayam kampung minggu depan

Bob kini bergantung dengan tabung oksigen apabila tidur pada waktu malam.

KEADAAN kesihatan pelakon dan penulis lirik, Bob Lokman beransur pulih selepas terpaksa berulang alik masuk wad selama enam bulan.

Bob atau Mohd Hakim Lokman, 54, berkata dia kini hanya ke hospital sekali sebulan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mufti ziarah Bob Lokman sedang uzur

"Tak selalu sangat kena pergi hospital, sekarang sebulan sekali buat pemeriksaan biasa sambil doktor tambah ubat.

"Ubat untuk sakit jantung, paru-paru dan kencing manis. Ada satu ubat jantung tu, harganya RM800 sebulan," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Rabu.

Tambah penulis lirik lagu Isabella nyanyian Amy (Search) itu, jumlah ubat-ubatan yang terpaksa diambilnya adalah 13 jenis dan kos bagi kesemua ubat itu adalah lebih RM1,000 sebulan.

Bob menjalani rawatan itu di UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh yang memiliki kepakaran dalam sakit jantung.

Bob mengalami masalah jantung, paru-paru dan kencing manis.

"Saya masuk hospital pada akhir 2014 sehingga Januari 2015.

"Lepas tu, tahun ni saya keluar masuk wad hospital bermula Januari hingga Jun 2018," katanya.

Bob kini bergantung dengan tabung oksigen untuk bantuan pernafasan ketika tidur dan perlu membawanya bergerak sekiranya keluar rumah.

Berkongsi tentang perkembangan terkini, Bob akan mula berniaga nasi ayam kampung di Masjid Al-I'tisam di TTDI Jaya, Shah Alam pada Selasa minggu depan.

"Saya pun memang tak bekerja, sekarang ni je saya rasa dah sihat, saya nak pergi berniaga balik.

"Minggu depan baru mula berniaga di Masjid Al-I'tisam TTDI Jaya, Shah Alam.

"Orang masjid tawarkan saya berniaga di situ, saya setuju je," katanya yang akan berniaga pada setiap Selasa hingga Ahad, pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

Kata Bob, dia hanya akan menggoreng ayam dan akan dibantu oleh anak lelaki serta anak saudaranya.

Sebelum ini, Bob dilaporkan ditahan di UiTM Private Specialist Centre Sungai Buloh akibat masalah jantung bengkak dan paru-paru berair pada awal Januari lalu.

Bob Lokman

Artikel Lain