suria

'Munafik 2' atasi 'HKL', pecah rekod RM40 juta

Syamsul Yusof mengarah filem Munafik 2.

FILEM Munafik 2 akhirnya memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem tersebut sekaligus mengenepikan filem arahan Mamat Khalid Hantu Kak Limah (HKL) yang mengutip RM35 juta bulan lalu.

Syamsul yang mengumumkan perkara itu mengucapkan syukur dan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada filem berkenaan.

"Mencecah kutipan Rm 40 juta hanya dalam 17 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Bukan mudah untuk filem Melayu capai ke tahap ini. Tsunami filem Melayu.

"Alhamdulillah & terima kasih. Majulah industri filem Malaysia," ujarnya.

Sebelum ini Munafik 2 mencipta rekod tersendiri apabila mencapai kutipan membanggakan untuk tayangan awal di pawagam pada 29 Ogos lalu.

Ia menjadikan filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi untuk tayangan awal iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Menurut Penerbit Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam, kutipan tersebut merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan belanja sebanyak RM2.9 juta.

Munafik 2, Hantu Kak Limah

Artikel Lain