suria

Pelakon Hong Kong, Andy Lau ucap tahniah kutipan besar ‘Hantu Kak Limah’

Andy bersama pelakon utama filem Hantu kak Limah, Delimawati. Foto: IZZRAFIQ ALIAS

PELAKON terkenal Hong Kong, Andy Lau mengucapkan tahniah kepada produksi filem Hantu Kak Limah atas kejayaan mencapai kutipan pecah panggung dalam filem tersebut.

Andy, 57, menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar untuk semua yang bertungkus-lumus menyiapkan naskhah tersebut.

"Tahniah untuk filem Hantu Kak Limah, ini merupakan satu kejayaan besar untuk kita semua," katanya ringkas.

Andy menyampaikan ucapan ringkas itu ketika majlis makan malam meraikan kejayaan filem tersebut yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Pelakon filem Shaolin ini merupakan salah seorang pengasas syarikat gergasi produksi Infinitus Entertainment Group yang juga merupakan selaku penaung Infinitus Gold.

Andy (tengah), Gayatri (duduk kiri), Mamat (duduk tiga dari kanan), bersama barisan pelakon dan tetamu jemputan pada majlis 'Malam Together-gether Hantu Kak Limah’.

Turut hadir ialah pengasas bersama iaitu Datuk Robin Tan, Penerbit Eksekutif Hantu Kak Limah, TP Lim, Penerbit Gayatri Su-Lin Pillai dan pengarah Mamat Khalid.

Barisan pelakon yang turut hadir pula ialah Zul Ariffin, Datuk Awie, Delimawati, Mus May, Jue Aziz dan Ropie.

Dalam majlis yang sama, Andy turut mengumumkan pemberian bonus kepada semua tenaga produksi yang terlibat.

Sehingga kini Hantu Kak Limah sudah berjaya mengutip RM36 juta sejak 28 hari tayangan dan dijangka kutipan sebanyak RM40 juta akan dicapai.

Filem ini merupakan terbitan Infinitus Gold bekerjasama dengan Astro Shaw.

Andy Lau, Hantu kak Limah

Artikel Lain