‘Sayap’ ayam madu Azharina laris - Hiburan | mStar

‘Sayap’ ayam madu Azharina laris

Azharina Azhar

KUALA LUMPUR: Penyanyi Azharina tidak menyangka perniagaan menjual kepak (dipanggilnya sayap) ayam madu hanya suka-suka dilakukannya kini mendapat sambutan.

Azharina, 33, berkata dia dan rakan kongsinya, Ani mula berniaga di restoran sahabat mereka di Puchong sejak dua minggu lalu.

“Alhamdulillah, tak sangka daripada hanya berniaga suka-suka kini mendapat sambutan yang mengalakkan sehingga kami tak menang tangan.

“Kebetulan kawan saya ada buka restoran di Puchong, jadi saya berniaga sayap ayam madu di situ dari pukul 10 pagi sampai 8 malam.

“Tapi selalunya sebelum petang tu sayap ayam madu saya mesti habis terjual,” kata Azharina kepada mStar Online.

Azharina ditemui ketika majlis pelancaran koleksi plus size Azhar Zainal di Loka Malaysia, Nu Sentral, di sini pada Rabu.

Tambah penyanyi lagu Elegi Sepi ini, dia dan rakannya yang membuat rempah dan menyediakan bahan untuk menu tersebut.

Menurut Azharina, proses untuk menyediakan ayam itu mengambil masa yang lama dan dia masih menunggu pekerja yang dibawa khas dari Sabah.

“Saya dan Ani perap sendiri ayam tu. Kami gunakan madu dari Singapura. Proses nak buat tu  makan masa yang lama.

“Dari petang sampai ke malam. Kalau bahagian bontot ayam tu lagi lama sebab nak bersihkan betul-betul.

“Buat masa ini saya masih tunggu pekerja dari Sabah. Kalau tak, memang sukar nak buat sendiri,” ujarnya yang memberi tahu kepak ayam panggang ialah antara makanan popular di Sabah.

Dalam pada itu, Azharina bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Lakar Janji yang akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini.

Kata Azharina, lagu ciptaan Dr Irma itu merupakan lagu paling sukar sepanjang karier nyanyiaan kerana memerlukan vokal yang sangat tinggi.

“Insya-Allah single terbaharu saya itu akan dikeluarkan pada penghujung tahun. Tapi tak pasti bila. Sekarang ini masih dalam proses untuk menyiapkan semua. Sejujurnya lagu ini merupakan lagu paling susah buat saya.

“Sebab mencabar vokal saya. Sebab lagu ini memerlukan vokal yang sangat tinggi,” katanya

Azharina

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sultan Ahmad Shah mangkat