suria

Jangan tanya sembarangan mengenai anak, itu pesan Abam (Bocey)

Abam sudah menyediakan jawapan untuk soalan mengenai zuriat. Foto: LOW LAY PHON.

PELAWAK terkenal Abam Bocey sudah mempunyai jawapan sekiranya ada pihak yang ingin bertanya soal zuriat.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, berkata setiap hari dia merancang (mahu anak) namun hanya Allah yang boleh menentukan.

"Hari-hari saya merancang tapi Allah yang menentukan. Saya memang dah bersedia dengan jawapan jika ada yang bertanya soal anak.

"Saya tahu mesti ada yang akan bertanya kahwin dah nak setahun tapi bila nak dapat anak. Jawapan saya senang sahaja, kalau kita nak mati esok, kita tahu tak?

Abam dan isterinya sentiasa mencuba untuk dapatkan cahaya mata.

"Macam itu juga dengan kelahiran. Kalau ada, Alhamdulillah. Kalau tak ada, kita usaha," kata Abam kepada mStar Online.

Abam dan isterinya Siti Norhidayah Mohd Ali berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Tambah Abam, dia akan menjawab persoalan mengenai anak dengan serius biarpun orang menganggap seorang pelawak itu hanya tahu berjenaka sahaja.

Menurutnya, perasaan orang perlu dijaga tambahan pula pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.

Abam berharap orang memahami dan tidak bertanya soal anak.

"Orang akan jangka kita jawab dalam keadaan berjenaka sebab mereka ingat pelawak boleh buat main-main. Tapi soal ini, saya akan cakap dalam keadaan serius.

"Bagi saya soalan macam itu tak perlu ditanya pun tak apa. Tunggu saja berita gembira kalau orang tu nak beritahu. Perasaan orang pun perlu dijaga.

"Letak diri kita di tempat orang yang ditanya. Kita yang baru setahun kahwin pun ada rasa sedih. Macam mana pula pasangan yang dah berpuluh tahun kahwin," katanya.

Dalam pada itu, Abam sudah mula bekerja selepas bercuti menyambut hari raya Aidilfitri di kampungnya, Gombak dan kampung isterinya yang terletak di Sabak Bernam.

Abam Bocey

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain