suria

Tunggu... ‘Mr Grey’ akan kongsi kisah sebenar

Fendy akan berkongsi cerita sebenar apa yang terjadi pada dirinya selepas keadaanya pulih sepenuhnya. Foto Instagram: @fendybakry.

PELAKON Fendy Bakry yang dikatakan mengalami penyakit misteri menjelaskan dia kini dalam keadaan sihat dan bukanlah sakit teruk seperti yang dihebohkan selama ini.

Fendy, 30, berharap peminatnya dapat mendoakan yang baik-baik supaya dia boleh kembali sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak sahkan ‘Mr. Grey’ sukar bercakap, kesihatan semakin lemah

"Assalammulaikum kesayangan abang. Untuk makluman semua abang sihat saja kat sini. Sakit pun cuma sikit saja.

"Tak ada la sampai teruk sangat macam yang hangpa (kamu) tengok tu. Ironman pun boleh sakit, takkan la abang yang macam ni tak boleh sakit.

"Cuma sekarang, mendoakan saja la yang baik-baik untuk abang. Insya-Allah abang okey," tulis Fendy.

Fendy memberitahu dia dalam keadaan sihat.

Fendy menjelaskan keadaannya sekarang menerusi laman Instastory dan turut memuat naik foto terbaharunya.

Fendy sebelum ini dilaporkan menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar iaitu pada Isnin lalu.

Namun, pelakon drama bersiri Mr. Grey itu dibenarkan keluar hospital dan pulang berehat di rumah di Perlis pada Khamis.

Tambah Fendy lagi, dia berharap peminatnya jangan mempercayai berita mengenainya yang tidak sahih.

Kata Fendy, dia akan berkongsi cerita sebenarnya sebaik sahaja keadaan kesihatannya kembali pulih sepenuhnya.

Foto terbaharu Fendy yang dimuat naik di Instastorynya.

"Jangan duk dengar berita dari mana-mana. Hangpa (kamu) pun tak tahu berita yang keluar itu kadang betul, kadang salah.

"Tapi tak apa, esok-esok abang dah betul-betul sihat, abang cerita kat hangpa apa yang terjadi.

"Sekarang ini pun abang hanya memerlukan rawatan macam itu sahaja. Bukan untuk dilawat," katanya

Dalam pada itu, Fendy tidak mahu menyusahkan peminatnya yang ingin menghantar hadiah dan hanya meminta mereka mengirimkan doa sahaja.

"Yang mana nak bagi hadiah ke apa ke, tak payah la. Hangpa buat susah-susah saja. Kirim doa pun tak apa dah. Haa... Besar rahmat dah tu," ujarnya.

Fendy minta peminatnya kirimkan doa supaya dia kembali sihat sepenuhnya.

Sebelum ini, Fendy dilaporkan mengalami sakit kepala dan lemah badan sewaktu menjalani penggambaran drama Mr Grey terbitan Global Station.

Menerusi laporan mStar Online pada 26 April lalu, kakaknya Fahaniza berkata, Fendy berada di kampung halamannya di Perlis bagi mendapatkan rawatan perubatan secara Islam.

Dia dikatakan berada dalam keadaan lemah sehingga tidak mampu menjawab panggilan telefon.

Sebelum ini Fendy sudah mendapatkan rawatan pakar di hospital namun keadaannya masih sama.

Fendy Bakry

Artikel Lain