suria

X-Ray boleh kesan hilang ingatan? Pengarah ‘Mona Lisa’ mengaku cuai

Adegan doktor mengesahkan pesakit hilang ingatan menerusi X-Ray menerima kecaman netizen.

PENGARAH drama Mona Lisa iaitu Shahrul Ezad memohon maaf dan mengakui berlaku kecuaian dalam pembikinan drama tersebut sehingga terdapat babak hospital yang dipertikaikan penonton.

Shahrul Ezad berkata, perkara itu berlaku berikutan pihaknya tidak meminta nasihat dan rujukan daripada mana-mana ahli dalam bidang perubatan.

"Ini adalah kesilapan yang tak sepatutnya berlaku. Bila saya rujuk kepada pengarah bersama Uchee Fukada, dia mengaku akan kecuaian.

"Bila tanya dia ada refer mana-mana nasihat tak sebelum shoot? Dia jawab dia ada rujuk kepada penulis skrip. Sekali lagi saya tepuk dahi sebab yang kau tanya penulis skrip itu buat apa? Dia orang bukannya doktor.

Barisan pelakon drama Mona Lisa.

"Diorang sendiri pun kadang-kadang tak faham apa yang diorang tulis. Main bantai translate daripada episod asal dari Korea," ujarnya.Shahrul Ezad mengulas tentang drama arahannya Mona Lisa yang dikecam apabila terdapat kesilapan fakta.

Ia berikutan terdapat satu adegan bagaimana seorang doktor mengesahkan pesakit mengalami hilang ingatan menerusi kaedah imbasan x-ray yang mana ia bercanggah dengan amalan perubatan sebenar.

Tweet daripada pengguna @nuraqidahajeera mendapat lebih 13,000 perkongsian di laman sosial tersebut.

Bagaimanapun, Shahrul Ezad berkata, dia mendapat pengajaran berharga iaitu tidak boleh mengambil mudah dengan perkara tersebut.

"Lain kali jangan ambik mudah benda-benda macam ini teruma di zaman viral ni.

"Kepada penonton saya mewakili seluruh team mohon ampun dan maaf sekiranya dikatakan ambil mudah soal ini," ujarnya.

Drama arahan Shahrul Ezad dan Uchee Fukada itu merupakan adaptasi drama Korea berjudul The Women Room dan ditayangkan pada Isnin hingga Jumaat, pukul 6 petang di saluran Astro Prima.

Drama 80 episod itu dibintangi oleh Zara Zya, Nazim Othman, Mona Allen, Hafreez Adam, Shah Jaszle dan Amyza Aznan.

Mona Lisa, Shahrul Ezad

Artikel Lain