suria

Shukri Yahaya... dah besar pun tinggal puasa

Shukri Yahaya berkongsi pengalaman pernah 'kantoi' tidak berpuasa. Foto Instagram @shukriyahaya

SETIAP kali hadirnya bulan Ramadan pasti ramai di antara kita yang terimbau pelbagai kisah tentang pengalaman berpuasa!

Tidak ketinggalan buat pelakon sensasi Shukri Yahaya yang mendedahkan dia pernah beberapa kali 'kantoi' kerana meninggalkan puasa.

Bagaimanapun kata bapa kepada seorang cahaya mata ini, perbuatan itu bukannya suka-suka tetapi akibat terlalu letih kerana perlu menjalani penggambaran pada bulan Ramadan.

"Jujurnya pernah beberapa kali saya tinggal puasa walaupun sudah besar! Tetapi bukannya sengaja sebab dah tak tahan kerana perlu menjalani penggambaran dan memang penat sangat.

Shukri kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama berjudul Selirat.

"Tetapi bukan sengaja dan puasa yang saya tinggal itu pun sudah diganti semula," katanya.

Dalam pada itu, Shukri berkata, pengalaman perit itu bagaimanapun tidak pernah membuatkan dia serik menerima tawaran yang memerlukan dia bekerja pada bulan Ramadan.

Sebaliknya kata Shukri, dia menganggap ia adalah cabaran buatnya sebagai seorang umat Islam dalam mengejar keberkatan daripada Allah.

"Kisah tak berpuasa itu adalah pengalaman dan ia proses memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Shukri bersama isterinya, Tya Adnan. 

"Saya pun tidak pernah serik berlakon ketika berpuasa kerana bila saya fikirkan itulah cabaran untuk saya dan Insya-Allah pahala pun bertambah," katanya.

Kongsi Shukri lagi, pihak produksi juga sebenarnya memahami situasi tersebut dan kebiasaannya mereka bekerja dalam waktu fleksibel dan bukannya dalam tempoh panjang.

"Kebiasaannya babak-babak yang perlu dibuat pun bukannya berat atau memerlukan kami berlakon di bawah panas matahari," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shukri berkata dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah telefilem untuk siaran Aidilfitri berjudul Selirat.

Shukri Yahaya, Selirat

Artikel Lain