suria

Awie dah tak sanggup!

Awie bakal muncul sebagai watak utama dalam drama bersiri berjudul Bila Tuhan Berbisik Cinta.

VOKALIS kumpulan Wings, Datuk Awie memberitahu keputusannya untuk menerima tawaran berlakon dalam sebuah drama bersiri adalah antara kesilapan besar dilakukan.

Ini kerana kata pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini, pengalaman kali pertama muncul sebagai peranan utama drama berjudul Bila Tuhan Berbisik Cinta menyedarkannya bergelar pelakon bukan tugas mudah.

"Menyesal dan sungguh saya dah tak sanggup! Macam manalah pelakon-pelakon lain yang terlibat dengan drama bersiri boleh tahan berada di set penggambaran untuk tempoh panjang.

"Jujur saya katakan ia memenatkan dan kalau hendak jadikan ia sebagai kerjaya hari-hari memang tak sanggup saya.

Awie mengakui berlakon dalam drama bersiri bukan tugas mudah. 

"Bila Tuhan Berbisik Cinta ini pun dah buat saya rasa menyesal kerana sebelum ini tidak pernah berlakon dalam drama bersiri," katanya.

Dalam pada itu, Awie berkata, penggambaran drama itu yang diadakan di Golok, Thailand menyebabkan dia tidak bertemu dengan keluarga selama 10 hari.

Bagaimanapun kata Awie, walaupun ia memenatkan namun dia tetap berasa seronok kerana ia memberi pengalaman baharu kepadanya yang sebelum ini lebih banyak terlibat dengan filem dan telefilem.

"Watak saya dalam drama ini memang berat dan memerlukan fokus yang tinggi menambahkan lagi tekanan.

Wings bakal muncul mengadakan persembahan istimewa di Hotel Priemera pada 26 Mei ini.

"Bayangkan 10 hari tidak bertemu keluarga kerana penggambaran diadakan di Golok, Thailand namun ia turut memberi pengalaman baru kepada saya.

"Banyak betul beza berlakon dalam filem berbanding drama bersiri dan ia menyedarkan saya bahawa kerja berlakon ini bukan main-main," jelasnya.

Tambah Awie, dia bersetuju menerima tawaran tersebut kerana sudah berjanji dengan pengarahnnya, Raja Mukriz yang juga rakan baiknya.

Dalam perkembangan lain, Awie bersama Wings bakal  mengadakan persembahan istimewa bersempena Ramadan di Hotel Priemera Kuala Lumpur pada 26 Mei ini.

Artikel Lain