“Sebab itu saya tidak akan kaya dan selamanya sendu” – Sharifah Amani - Hiburan | mStar

“Sebab itu saya tidak akan kaya dan selamanya sendu” – Sharifah Amani

Amani tolak RM1 juta jadi duta produk pemutih kulit atas nasihat ibunya. Foto Instagram: @sharifah_amani.

PELAKON Sharifah Amani mendedahkan dia pernah menerima tawaran sebanyak RM1 juta untuk menjadi duta produk pemutih kulit.

Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 32, berkata, bagaimanapun dia menolak tawaran itu selepas menerima nasihat ibunya, Fatimah Abu Bakar.

"Pernah sekali produk pemutih kulit nak kasi kita bayaran sejuta untuk jadi duta dia. Saya fikir, sedapnya duit itu.

"Selepas itu mama tegur saya cerah sebab genetik bukan fasal krim. Orang Asia mana ada putih macam mat salleh? Produk tu ada bleach, bahaya untuk kesihatan.

"Akhirnya tak jadi duta produk itu. Sejuta pun bye bye. Tapi mama kita yakinkan kita yang rezeki akan ada di mana-mana," kata Amani menerusi laman Twitternya.

Antara status yang dimuat naik Amani.

Tambah Amani lagi, wang bukanlah segalanya tetapi tanggungjawab sebagai masyarakat itu lebih penting.

Bagi pelakon filem Sindiket ini, dia tidak sanggup mahu orang lain menjadi mangsa demi kepentingannya.

Amani  turut berseloroh mengatakan disebabkan itu dia tidak akan kaya dan tidak akan terkenal buat selamanya.

"Duit bukan segalanya. Tanggungjawab kita kepada masyarakat lebih penting daripada diri sendiri. Syukur untuk mama saya. I love you @fatibee.

"Integriti tidak membayar bil-bil. Jarang sekali anda dapat wang yang banyak tanpa beberapa mangsa. Persoalannya ialah sejauh mana anda bersedia berjudi dengan diri sendiri?

Amani tidak mahu orang lain menjadi mangsa.

"Hormatilah orang tua anda menjadikan anda lebih baik daripada itu. Dan sebab itu saya tidak akan pernah kaya dan selamanya sendu," kata Amani.

Rata-rata pengikut di laman sosial memuji pendirian Amani dan menjadikan dia sebagai idola.

Dalam pada itu, Amani memberitahu dia mungkin akan lebih dikenali jika melakukan sesuatu gimik dan menjadi viral.

"Mungkin dengan menipu kat orang aku tidak akan sendu lagi. Mungkin harus melakukan gimik viral untuk menjual bukan karya aku tapi diri aku.

"Mungkin dengan memaparkan imej public account dan menyorok imej sebenar di akaun peribadi orang akan lagi suka. Akal: orang bukan Tuhan," ujarnya.

Sharifah Amani

Artikel Berkaitan

Artikel Lain