Dynas minta Syazrik cari wanita bujang - Hiburan | mStar

Dynas minta Syazrik cari wanita bujang

Dynas bersama suami dan dua cahaya matanya. FOTO Lifestyle wedding.co

SHAH ALAM: Pelakon Dynas Mokhtar pernah meminta suaminya, Muhammad Syazrik Che Mohd Din, memilih wanita lain yang masih bujang setiap kali berlakunya pergaduhan di antara mereka.

Dynas, 35, berkata dia sentiasa berasa dirinya tidak layak memandangkan statusnya sebagai ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Dynas Mokthar sah isteri ahli perniagaan dengan sekali lafaz

“Saya pernah suruh Syazrik pilih saja wanita lain yang masih bujang. Sebab saya rasa macam tak layak bersama dengan dia.

“Benda itu akan keluar setiap kali kami bergaduh. Yela, saya adalah ibu tunggal yang ada dua orang anak. Dia pula masih bujang dan mampu untuk mencari wanita yang lebih sesuai,” kata Dynas kepada mStar Online

Selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Pelakon drama Susuk ini ditemui ketika majlis sidang media pernikahan di kediamannya, di sini pada Sabtu.

Tambah Dynas lagi, dia berasa bertuah memiliki seorang suami yang sangat memahami dan tahu bagaimana untuk mengawal perasaannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat suami yang sangat memahami saya. Kami dah berkawan lama, dia seorang saja yang bertahan dengan kerenah dan perangai saya.

“Dia tahu macam mana nak kawal perasaan saya bila tiba-tiba mood berubah-ubah. Malah, dia sentiasa ada bersama ketika saya dalam kemurungan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama susuk ini merancang untuk membawa dua orang anaknya, Khyra Khalyssa, 8, dan Mohamed Haqaish, 6, pulang ke kampung suaminya di Terengganu dan bercuti di Pulau Redang.

Manakala mereka merancang untuk berbulan madu di Pulau Maldives pada penghujung tahun ini.

Tahniah semoga kekal ke akhir hayat.

“Insya-Allah kami merancang untuk bawa anak-anak balik ke kampung suami di Terengganu dan bercuti di Pulau Redang dalam empat hari selepas selesai semua majlis.

“Selepas itu baru kami merancang untuk pergi berbulan madu berdua pula. Kami cadang nak pergi Pulau Maldives. Mungkin dalam penghujung tahun ini,” katanya.

Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sah menjadi isteri kepada Syazrik, 36, pada pukul 10.50 pagi, Sabtu.

Majlis bertandang akan diadakan pada 28 April depan di Damansara, Petaling Jaya dan disusuli majlis resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei depan.

Sebelum ini, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu.

Dynas bercerai pada empat tahun lalu dan mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan tersebut. 

Dynas Mokhtar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan