suria

Doktor gigi beri nasihat punca gigi reput anak Wawa, Aeril Zafrel

Wawa dan Aeril bimbang masalah gigi anak.

PETALING JAYA: Seorang doktor gigi, Iqbal Rosali memberi pandangan dan nasihat kepada pasangan pelakon Wawa Zainal dan Aeril Zafril terhadap masalah gigi reput anak-anak mereka.

Menerusi perkongsian di Facebook, Iqbal berkata, perkara utama ialah memastikan anak-anak mereka tidak tidur dengan botol yang mengandungi susu atau air manisan.

"Saya baru tahu Ahmad Fakhruddin Attar pernah dicabut semua gigi susunya kerana telah rosak.  Beginilah... saya kongsikan kepada Wawa Zainal dan Ariel Zafril dan semua ibu bapa langkah-langkah terbaik untuk memastikan kesihatan gigi yang optimum untuk anak masing-masing.

"Perkara pertama jangan biarkan anak tertidur dengan botol mengandungi susu atau air manisan. Walaupun anak sudah tidur dan tidak menghisap lagi, susu tetap akan menitik dan menyebabkan bertakung di dalam mulut. Pengumpulan susu ini boleh merosakkan gigi," ujarnya.

Iqbal merupakan pegawai pergigian di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Iqbal berkongsi tip kepada pasangan ini di Facebook.

Dia berkongsi pandangan tersebut selepas mengetahui tentang permasalah gigi reput yang diluahkan oleh pelakon Wawa Zainal di laman sosialnya.

Wawa mengakui bimbang dengan permasalahan tersebut dan meminta tip daripada pengikut laman sosialnya.

Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata, Ahmad Fakharuddin Attar, 5, dan Hayla, 3.

Dalam pada itu, Iqbal berkata, ibu bapa perlu membersihkan mulut anak-anak mereka dua kali sehari atau menggunakan kain lembap bagi yang masih kecil.

Selain itu, katanya, pasangan itu digalakkan mengurangkan penggunaan botol susu secara berperingkat dan tidak memasukan apa-apa minuman manis ke dalam botol susu.

"Galakkan mereka menggunakan cawan seawal usia enam bulan. Bilas mulut mereka menggunakan air kosong selepas makan," ujarnya.

Iqbal berkata, perkara paling penting ialah membawa anak-anak mereka membuat pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh.

"Yang paling penting, bawalah anak masing-masing untuk pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh. Kemudian, disusuli pula dengan setiap enam bulan sekali.

"Pada masa inilah ibu bapa boleh menilai dan muhasabah adakah penjagaan gigi anak selama ini betul dan berkesan. Semoga bermanfaat buat Wawa dan Aeril serta ibu bapa lain," ujarnya.

Wawa Zainal, Aeril Zafril

Artikel Lain