suria

“Seni, periuk nasi... politik kena ambil tahu” - Aishah

Aishah memberitahu sebagai rakyat Malaysia seseorang itu perlu mengambil tahu mengenai hal berkaitan politik.

PENYANYI Aishah menegur segelintir pengikutnya di Instagram selepas ada yang mempertikaikan tindakannya kembali aktif dalam dunia politik bersama parti pembangkang dalaam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung 9 Mei depan.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 53, menerusi ruangan komen memberitahu sebagai rakyat Malaysia seseorang itu perlu mengambil tahu mengenai hal berkaitan politik kerana ia turut memberi kesan kepada semua.

"Dah lama pun ambil tahu pasal politik. Hidup kita kenalah ambil tahu pasal politik kerana hidup kita akan terkesan oleh semua keputusan politik.

"Tak minat saya bila saya berpolitik tidak mengapa, itu hak anda tapi hak berpolitik hak saya," tulisnya.

Aishah mempromosikan acara bersama Pakatan Harapan yang dihadirinya bersama pengikutnya di Instagram. Foto Instagram @aishahjmm

Aishah yang juga juara program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) meninggalkan komen tersebut sebagai respons kepada beberapa pengikutnya yang mempersoalkan tindakannya aktif dalam dunia politik.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, Aishah bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan atas tiket Pas menentang Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada Barisan Nasional.

Bagaimanapun Aishah gagal merebut kerusi itu apabila Mohd Isa menang dengan majoriti 8,614 undi.

Aishah kini aktif bersama Pakatan Harapan (PH) dan giat mempromosikan aktiviti dan ceramah yang sedang giat dijalankan bagi menghadapi pilihan raya.

Semakin langsing... Aishah melakukan pembedahan pintasan gastrik pada Mac lalu. - Foto Instagram @aishahjmm

Sementara itu, Aishah turut menegaskan politik dan kariernya sebagai penyanyi tidak patut dicampur-adukkan kerana seni itu adalah periuk nasinya manakala politik pendiriannya.

"Seni itu periuk nasi saya, gunakan bakat anugerah Allah. Politik semua orang mesti ambil tahu kerana masa depan dan anak cucu kita akan terkesan oleh semua keputusan politik.

"Minatlah pada suara dan lagu saya. Pendirian politik hak saya," katanya.

Bagaimanapun rata-rata pengikutnya menyokong dan menghormati pendiriannya malah berharap penyanyi lagu Janji Manismu itu kembali bertanding pada PRU14.

Aishah, PRU14

Artikel Lain