suria

Dua isteri reda bakal ditinggalkan Ashraf Muslim

Ashraf terpaksa tinggalkan keluarga demi misi kemanusiaan.

PETALING JAYA: Pelakon Ashraf Muslim memberitahu dia terpaksa meninggalkan keluarga lebih seminggu bagi menyertai misi kemanusiaan ke Bosnia penghujung bulan ini.

Ashraf, 36, berkata, biarpun pada awalnya berasa gementar dan bimbang, namun dia tekad untuk meneruskan hasrat membantu umat Islam yang kini berada dalam kesusahan di negara tersebut.

"Saya terpaksa berkorban masa dan tinggalkan keluarga dalam tempoh lapan hari untuk ke Bosnia. Isteri-isteri terpaksa reda sahajalah.

"Kita tidak tahu bagaimana keselamatan di sana, mereka kata semua baik tapi ada kawasan yang masih lagi berada dalam keadaan yang tidak selamat dan umat Islam ditindas," ujarnya kepada mStar Online.

Ashraf mempunyai dua isteri iaitu Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi.

Pelakon itu mempunyai tiga cahaya mata bersama kedua-dua isterinya iaitu Sarah Ashraf, Anas Ashraf dan Adam Ashraf.

Ashraf akan bersama Diana Amir dan Farah Lee ke Bosnia.

Ashraf bersama 11 selebriti lain terlibat dalam aktiviti mencari dana kemanusiaan menerusi Projek Squad Celebrity Global Volunteers bermula 19 April ini.

Projek itu direalisasikan dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Pertubuhan Ukhwah 4 Ummah (U4U).

Pelakon drama Geng Tadarus itu akan bersama Diana Amir dan Farah Lee bertanggungjawab untuk merakam video dan mendapatkan kutipan dana untuk rakyat Bosnia.

"Ini merupakan projek pertama saya menggembara sejauh ini untuk membantu umat Islam di luar yang pasti memberi pengalaman dan pencapaian baru buat diri saya untuk mengutip dana sebanyak mungkin.

"Saya diberitahu kesan peperangan di sana membuatkan masyarakat hidup dalam keadaan serba kekurangan dan gagal untuk membangun.

"Mereka perlu mengusahakan tanah itu kerana jika tidak tanah tersebut akan diambil oleh kerajaan mereka sendiri," ujarnya.

Selain Bosnia, IRM dan U4U turut menjayakan tiga lagi misi di Malawi (Afrika Timur), India dan Filipina membabitkan Irma Hasmie, Lufya Omar, Faizal Ismail, Fara Fauzana, Zoey Rahman dan Lah Ahmad.

Orang ramai yang berminat menyertai kempen ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang: www.ukhwahforummah.org atau www. islamic-relief.org.my

Ashraf Muslim

Artikel Lain