suria

Prime Domestic ada kekuatan tersendiri

Prime Domestic mempunyai kekuatan tersendiri. Foto: SHAARI CHEMAT.

BIARPUN baru setahun bertapak dalam industri muzik tanah air, kumpulan Prime Domestic percaya mereka mampu berdiri selaras dengan kumpulan rock yang sedia ada.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir berkata dia mencipta kumpulannya itu berdasarkan bakat dan pengalaman mereka dalam dunia muzik.

Selain itu, konsert Rock Lagend 2018 bersama kumpulan May yang akan diadakan pada 5 Mei depan adalah salah satu peluang untuk mereka mempromosikan album terbaru.

ARTIKEL BERKAITAN: Mus (May) Muncul Dalam Konsert Selepas Koma

Joe dan Mus akan berkongsi pentas di Konsert Rock Lagend 2018.

"Prime Domestic ini ada kekuatan tersendiri dimana ia ada pada setiap ahli kumpulan. Masing-masing ada pengikut.

"Setiap ahli juga mempunyai bakat dan pengalaman dalam industri muzik. Saya anggap konsert akan datang ini adalah untuk mencari keserasian dengan peminat dan promosi album baru.

"Kami baru setahun dalam industri. Bukan semua band dapat peluang macam ini. Kami ada landasan betul cuma kena bersabar," kata Joe kepada mStar Online.

Selain Joe (pemain gitar), Prime Domestic turut dianggotai oleh Aweera selaku penyanyi, Hillary Ang (gitar), Fauzi (bes) dan Ainol (dram).

Kata Joe, kumpulannya tidak sabar untuk membuat persembahan dan akan menampilkan sesuatu kelainan pada konsert yang akan diadakan di MAEPS, Serdang, Selangor nanti.

Gabungan dua band rock di satu pentas yang sama.

"Persiapan macam biasa, pertama sekali kena pilih lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan pada malam konsert itu.

"Ada 10 buah lagu baru tapi kami akan main lebih daripada itu. Nasib baik ada lagu-lagu daripada kumpulan Wings yang pernah dimainkan bersama Mus (May).

"Mungkin malam itu saya akan berkolaborasi dengan Mus membawa lagu Wings pada era dia mengikut susunan lagu band kami," ujarnya.

Konsert yang akan bermula pukul 8 malam itu akan menggabungkan dua band rock iaitu May dan Prime Domestic.

Tiket berharga RM120 (rock zone), RM180 (5.1 surround zone) dan RM68 (G zone) boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com, www.dreamstageconcert.com atau menghubungi talian 03-2170 6333.

Prime Domestic

Artikel Lain