suria

Altimet Tepis Disindir Dalam ‘Gong Nekara’ Tapi Lirik Itu Ada Kaitannya

Altimet tampil dengan album terbaharunya yang berjudul Air. Foto AHMAD ZAMIR

PENYANYI rap Altimet tidak menganggap lagu nyanyian kumpulan Kmy Kmo bersama Luca Sickta iaitu Gong Nekara dihasilkan untuk menyindirnya.

Ia dikatakan bagi membals semula lagu nyanyian Altimet sebelum ini iaitu  Mambang yang didakwa ditujukan kepada bekas anggota Too Phat, Malique.

Altimet atau Ahmad Abdul Rahman, 40, berkata, telahan dibuat segelintir pihak tentang lagu Gong Nekara itu tidak benar kerana ia tidak menyebut namanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mambang’ Kisah Altimet, Bukannya Menyerang Malique

"Saya tak rasa ia lagu balas kerana nama saya pun tidak disebut dalam liriknya.

"Malah lagu saya sendiri pun tidak menyebut tentang sesiapa dan ia menyindiri diri saya sendiri dan bukannya orang lain," katanya.

Altimet ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Air pada Khamis.

Penyanyi itu diminta mengulas kononnya lagu Gong Nekara ditujukan kepadanya apabila netizen mengaitkan lirik lagu itu ada kaitan dengan Altimet khususnya bagi bait 'Aku lempar tari Iqram mengusik ego tua kau ombak singgah omong nisbah gangguan yang tak dihirau.'

Kalau diambil pangkal huruf bait 'Aku Lempar Tari Iqram Mengusik Ego Tua' ia bermakna ALTIMET.

Selain itu Iqram juga pernah menjadi kontroversi dengan Altimet selepas pelakon itu dikatakan mahu menceroboh persembahannya semasa Anugerah Juara Lagu baru-baru ini.

Altimet tidak merasakan lagu Gong Nekara menyindirnya.

Dalam pada itu, Altimet menegaskan lagunya Mambang dibuat berdasarkan pengalaman dirinya sendiri dan terpulang kepada orang lain untuk membuat penilaian walaupun dia sudah menjelaskan dia tidak menujukan kepada sesiapa.

"Saya buat lagu berdasarkan pengalaman sendiri dan interpretasi orang atas pengalaman mereka juga. Jika ada yang terasa maka dialah yang terasa sendiri.

"Saya sentiasa cerminkan diri dahulu dalam penulisan lagu saya... sindir diri sendiri," ujarnya.

Bercakap mengenai album terbaharunya, Altimet berkata, dia menjadikan kata-kata pelakon legenda, Bruce Lee iaitu 'Be Like Water' sebagai inspirasi utama dalam penghasilan album Air.

Kata Altimet, ini kali pertama dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada komposer untuk menentukan arah tuju lagu-lagu dalam album itu dan dia hanya mengikut seperti sifat air yang mengikut sebarang bentuk acuan.

"Menerusi album ini saya cuba jadi macam air yang mengikut apa yang orang lakukan untuk saya dan cuba ikut mengikut kesesuaian diri saya.

Menerusi album Air, Altimet menampilkan enam buah lagu baharu.

"Sebelum ini saya kawal semua aspek tentang penerbitan album saya tetapi kali ini saya biar orang lain yang tentukan kerana kadang-kadang saya tidak nampak benda yang baik untuk diri sendiri.

"Alhamdulillah walaupun penglibatan saya terhad dari segi gubahan lagu tetapi saya puas kerana saya memang suka bereksperimen dalam berkarya," katanya.

Bagaimanapun kata Altimet, dia masih menulis semua keenam-enam lirik lagu dalam album Air selain bekerjasama dengan komposer seperti Omar K, Navigator, Emir Hermono, Kidd Santhe dan Music Kitchen.

Enam lagu yang dimuatkan dalam Air adalah Mambang, Ngam (Feat AShtin), KL Wangan (Feat Pekin Ibrahim & Faizal Hussein), Same Kind (Feat Baraka Blue & Aina Abdul), Muda (Feat Kidd Santhe) dan Bunga yang juga single terbaharunya.

Air sudah pun berada di pasaran di semua platform digital dan album fizikal akan dilancarkan pada 1 April ini.

Altimet, Mambang, Air

Artikel Lain