suria

Hisyam Hamid Tak Kejar Datuk

Hisyam tak kejar pangkat dan penghargaan. Foto: NORAFIFI EHSAN / The Star

PELAKON Hisyam Hamid meluahkan rasa bangga atas pencapaian rakan senegara dari Singapura iaitu Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra yang telah menerima darjah kebesaran, tahun lalu.

Hisyam berkata, dua pelakon itu layak menerima anugerah tertinggi tersebut kerana berjaya dalam bidang seni dan aktif dengan program amal.

"Sejujurnya, saya kagum dengan mereka berdua dan layak diberi penghormatan atas pencapaian sebagai anak seni. Mereka juga aktif di belakang tabir dan terbabit dengan program amal.

"Mungkin orang luar tak tahu apa mereka lakukan di sebalik kamera, jadi tak perlu nak pertikaikan kelayakan mereka," katanya kepada mStar Online.

Hisyam berbangga dengan pencapaian teman senegara Adi Putra dan Aaron Aziz.

Hisyam ditemui semasa sidang media drama Do(s)a yang diadakan di Hotel Nouvella, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Adi Putra dan Aaron Aziz dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada Oktober dan Disember tahun lalu.

Diusik sama ada dia turut memasang impian yang sama, pelakon berusia 33 tahun ini berkata dia tidak meletakkan harapan untuk meraih gelaran tersebut.

Adi Putra dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) pada Oktober dan Aaron Aziz pada Disember tahun lalu.

Baginya, perjalanan sebagai anak seni masih jauh dan pembabitannya dalam industri bukan untuk mendapatkan balasan serta penghargaan.

"Perjalanan saya jauh lagi. Malah, tak pernah terlintas pun difikiran ini untuk mendapatkan gelaran tersebut.

"Itu rezeki mereka dan saya sebagai kawan turut berbangga dan akan terus menyokong perjuangan teman industri. Insya-Allah niat baik akan diberkati," ujarnya.

Hisyam bergandingan bersama Ashraf Sinclair dan Remy Ishak dalam drama Do(s)a.

Bercakap mengenai drama Do(s)a, Hisyam berkata dia seronok membawakan watak lelaki bernama Fahad dan mempelajari mengenai seni mempertahankan diri.

Drama lapan episod ini merupakan kolaborasi mega di antara produksi Malaysia dan Indonesia.

Ia bakal disiarkan di Astro First saluran 480 bermula 14 Februari ini.

Selain Hisyam, ia turut dibintangi oleh Datuk M.Nasir, Ashraf Sinclair, Remy Ishak dan Shenty Feliziana.

Hisyam Hamid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain