suria

Akhirnya Jumpa Mufti, Iqram Dapat Hadiah Arnab

Iqram bertemu Mufti Wilayah Datuk Dr Zulkifli pada petang Sabtu.

PETALING JAYA: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghadiahkan dua ekor arnab kepada Iqram Dinzly pada sesi pertemuan hati ke hati antara aktor berkenaan dengan agamawan itu pada petang Sabtu.

Zulkifli turut menghadiahkan beberapa buku tulisannya kepada Iqram dan pelakon Johan As'ari yang turut hadir pada pertemuan berkenaan.

"Setiap tanda ingatan yang kami berikan, sebenarnya ada hasrat tertentu yang ingin disampaikan untuk Iqram dan Johan.

"Kami hadiahkan beberapa buku tulisan kami kepada Iqram dan Johan untuk dibaca, dihayati dan diamalkan kandunganya.

"Begitu juga jubah dan kopiah supaya terus istiqamah dan bersemangat dalam ibadah. Tidak lupa dua ekor arnab yang comel kami hadiahkan kepada Iqram, supaya beliau dapat meneruskan hobinya dengan lebih gembira dan tenang," tulisnya di Instagram pada Sabtu.

Iqram ditemani pelakon Johan As'ari

Zulkifli berkata, pertemuan hati ke hati itu juga dapat menjelaskan kemelut kehidupan Iqram yang sering menjadi perbualan dan sensasi di media sosial.

Beliau turut berterima kasih kepada kedua-dua aktor itu yang sudi meluangkan masa dan berbincang tentang perkara yang berlaku.

"Kami amat memahami akan situasi yang dihadapi dan kami namakan pertemuan pada kali ini lebih kepada kunjungan serta taaruf antara kami dari pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kedua-duanya.

"Sesungguhnya pertemuan yang dibicarakan dari hati ke hati boleh mengungkai sejumlah besar lingkaran kemelut kehidupan yang dihadapi," ujarnya.

Dalam pada itu, Zulkifli berharap pelakon berkenaan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

"Kami yakin disana terdapat cahaya di hujung terowong kehidupan tatkala kita berpegang kepada tali Allah dengan penuh keimanan disamping makrifah ilmu dengan sedalamnya. Begitu juga kita sulami kehidupan dengan takwa dan taat.

"Kami berdoa agar kita semua sentiasa diberi taufiq dan dihidayahkan oleh Allah SWT," katanya.

Terdahulu, pada 27 Disember lalu, Zulkifli menerusi surat terbuka kepada Iqram Dinzly menjemput pelakon Dunia Baru itu hadir ke pejabatnya bagi membincangkan masalah yang sedang dihadapi selepas beberapa video aksi pelik menjadi tular di laman sosial.

Artikel Sebelum

Artikel Lain