suria

Sibuk Benar Fasha Sandha

Fasha Sandha bersama anak perempuannya, Putri Raysha Jemyma. Foto Instagram @fashasandha

WALAUPUN terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, pelakon Fasha Sandha tidak akan menolak tawaran berlakon yang diberikan kepadanya.

Kata Fasha, 33, dia menganggap perkara itu sebagai rezeki daripada Allah dan tidak kisah terpaksa bersusah terlebih dahulu kerana ia memberi kebaikan pada masa hadapan.

"Alhamdulillah rezeki berlakon memang banyak dan pada saya itu rezeki daripada Allah.

"Buat apa hendak tolak? Sementara orang masih mahukan khidmat saya, biarlah saya bersusah-susah dahulu dan senang kemudian.

"Memang kadang-kadang masa sangat terhad untuk keluarga tetapi inilah pengorbanan yang perlu saya lakukan," katanya.

Fasha kini sibuk di lokasi penggambaran drama berantai, Syurga Yang Kedua.

Bercakap mengenai dua anaknya iaitu Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma yang kini berusia 2 tahun, Fasha berkata, mereka mula memahami apabila dia perlu keluar untuk bekerja.

Kata Fasha, adakalanya dia tidak sempat untuk bermanja dengan anak-anak kerana sibuk sehingga terpaksa membawa mereka ke lokasi penggambaran.

"Ada pernah sekali tiga hari saya tidak berjumpa dengan anak-anak kerana terlalu sibuk di lokasi penggambaran.

"Sampai saya bawa mereka ke set kerana terlalu rindukan mereka.


"Bagaimanapun saya tak praktikan bawa anak pergi ke tempat kerja kerana bimbang akan menggangu," jelasnya.

Tambah Fasha, walaupun sibuk namun dia tetap akan memastikan dapat menghabiskan masa bersama anak-anak terutamanya pada hujung minggu.

"Kalau saya keluar bekerja saya selalu pastikan akan buat panggilan video dengan mereka dan masa lapang saya memang tiada agenda lain melainkan bersama anak-anak dan keluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fasha berkata, dia kini masih sibuk menyelesaikan baki penggambaran drama berantai Syurga Yang Kedua bergandingan bersama Zarul Hussin dan Elizad.

Drama 70 episod itu kini sedang ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap Isnin hingga Jumaat , 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.

Fasha Sandha, Syurga Yang Kedua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain