Peminat Berusia Lebih Ramai Nasihati Khai Bahar - Hiburan | mStar

Peminat Berusia Lebih Ramai Nasihati Khai Bahar

Peminat beri nasihat dan kata-kata semangat kepada Khai. Foto Instagram: aqoimran

PENYANYI Khai Bahar memberitahu dia kerap menerima nasihat dan kata-kata semangat daripada peminat yang lebih berusia.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 23, berkata dia bertuah kerana memiliki kelompok peminat pelbagai peringkat usia yang mengambil berat tentang dirinya.

"Saya sering menerima nasihat daripada peminat terutamanya mereka yang lebih berusia. Mereka bukan sekadar peminat, malah menjadi penasihat dan penyokong saya saat susah dan senang.

Khai tak jemu melayan peminat dan penyokong karier seninya.

"Mereka bagi nasihat macam mana nak berdepan dengan tekanan dan kata-kata semangat meneruskan karier seni supaya saya buat yang terbaik dalam bidang ini.

"Selalunya mereka kongsikan melalui laman sosial atau ketika bertemu di acara hiburan," katanya kepada mStar Online.

Khai Bahar ditemui ketika program Greatest Love Of Khai Bahar yang berlangsung di Laman Kayangan, Shah Alam, Selangor pada Isnin.

Khai rasa bertuah dikelilingi peminat setia yang sentiasa menyokong nyanyiannya.

Dalam majlis tersebut, lebih 500 orang peminat berhimpun dan beramah mesra dengan Khai Bahay yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule ini.

Menerusi acara ini, peminat dapat berkumpul dan mendekati penyanyi kesayangan mereka secara dekat di samping aktiviti menarik yang telah dirancang.

Sementara itu, Khai berkata dia sudah lama mengimpikan peluang untuk bertemu peminat dalam satu majlis santai.

Nama Khai Bahar semakin dikenali di Indonesia.

"Saya dah lama impikan peluang begini. Malah, perancangan tu dah lama ada tapi tak dapat nak direalisasikan kerana kekangan waktu.

"Alhamdulillah, hari ini peluang itu ada dan inilah masa untuk saya meraikan mereka dan menghargai sokongan yang telah diberi," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Luluh ini turut meluahkan rasa teruja kerana ada peminat yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyertai acara tersebut.

Menerusi lagu Bayang, Khai bakal beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 awal tahun depan.

Malah, dia mahu menggunakan peluang ini sebaiknya untuk meraikan mereka yang tidak henti-henti memberi sokongan kepadanya.

"Ada yang datang jauh dari Kedah dan Perlis untuk bertemu saya dan ini satu perkara yang sangat mengujakan.

"Mereka sanggup luangkan masa dan program sebegini merupakan peluang untuk saya membalas semula pengorbanan dan sokongan mereka," ujarnya.

Khai Bahar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Untunglah Dapat Cium Neelofa

Artikel Berkaitan

Khai Bahar Malu Mikrofon Terbalik

Artikel Lain