suria

Bak Mimpi Bakal Kahwin Aktor Indonesia - Shenty Feliziana

Shenty percaya bercinta selepas berkahwin lebih indah. Foto Instagram: @shentyfeliziana.

PELAKON Shenty Feliziana tidak menyangka pelakon Reuben Elishama, 39, berani bertemu keluarganya untuk mengenali dia lebih rapat.

Shenty atau nama sebenarnya Shenthy Feliziana Sudirman, 28, berkata dia mengenali pelakon yang berasal dari Indonesia itu ketika menjalani penggambaran drama DO(s)A pada Jun lalu.

"Saya kenal Reuben sejak penggambaran drama DO(s)A pada Jun lalu. Tapi masa itu saya dan dia letak syarat nak jadi profesional tak boleh ada cinta lokasi.

"Supaya tahu batasan dan selesa bekerjasama. Sejak itu kami rapat. Dua minggu lepas habis penggambaran, dia ada kata rindu.

Reuben (kanan) dan keluarganya datang menghantar rombongan merisik. 

"Saya beritahu kalau nak serius kena jumpa ibu dan dia terus datang ke Singapura jumpa keluarga untuk sampaikan niat baiknya. Tak sangka dia buat macam itu," kata Shenty kepada mStar Online.

Menurut Shenty, keluarga Reuben telah menghantar rombongan merisik, bertunang pada 25 November lalu dan merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan.

Kata pelakon yang berasal dari Singapura ini, dia berasa seakan-akan sedang bermimpi dan berharap semuanya berjalan lancar.

"Ibu pun terbuka hati untuk terima dan setuju kami kenal lebih rapat. Sebulan lepas itu terus dia kata keluarga nak datang untuk salam perkenalan.

"Alhamdulillah, pada 25 November lalu keluarga dia datang merisik dan kami bertunang. Insya-Allah tahun depan bulan April kami akan langsungkan pernikahan.

"Sampai sekarang masih rasa macam mimpi tapi buat masa sekarang saya rasa tenang. Saya reda kalau betul dia jodoh, Allah akan permudahkan," ujarnya.

Shenty dan Reuben akan bernikah pada April tahun depan.

Dalam pada itu, bekas pengacara program H! Live ini terpikat dengan senyuman, keikhlasan dan cara layanan pelakon lelaki itu terhadap keluarga terutama sekali pada wanita.

Malah, mereka juga sudah mengenali perangai masing-masing ketika bekerjasama dalam drama tersebut.

"Saya dapat rasakan keikhlasan dia. Cara dia cakap pun berbahasa dan tengok dia layan keluarga penuh dengan hormat terutama sekali perempuan.

"Masa kerja untuk drama DO(s)A, kami berdua dapat tengok kita perangai sebenar masing-masing dan tak ada yang tak menyenangkan.

"Dia pandai buat saya ketawa dan senyuman dia pun buat saya cair juga lah," kata Shenty.

Selain Reuben dan Shenty, pelakon lain yang turut membintangi drama mini siri Do[s]a ialah Remy Ishak, Hisyam Hamid, Datuk M.Nasir dan ramai lagi.

Drama tersebut diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah yang dijangka menemui para penonton di Astro tidak lama lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sajat Menangis Kena Marah

Artikel Lain