suria

“Jangan Kaitkan Isteri Saya” - Zarul Husin

Zarul Husin memegang watak sebagai Daniel menerusi drama bersiri Syurga Yang Kedua. Foto LOW LAY PHON

PENYANYI dan pelakon Zarul Husin bersedia lakonannya sebagai suami yang mengamalkan poligami menerusi drama Syurga Yang Kedua menjadi perhatian penonton kerana ia isu sensitif dalam kalangan masyarakat.

Kata Zarul, 44, dia berharap sebarang kritikan mengenai wataknya sebagai Daniel tidak mengaitkan isterinya kerana apa yang dipaparkan hanyalah lakonan semata-mata.

"Rasanya orang tidak akan marah saya tetapi watak yang saya bawa dalam drama itu.

"Mereka mungkin akan terbawa-bawa dengan emosi kerana apa dipaparkan sebenarnya memang berlaku dalam masyarakat kita.

"Tetapi satu sahaja yang saya minta janganlah kaitkan isteri saya dalam hal ini," katanya.

Zarul bergandingan dengan Elizad dan Fasha Sandha.

Syurga Yang Kedua sebuah drama adaptasi sinetron Indonesia turut membariskan pelakon seperti Fasha Sandha, Elizad, Azizah Mahzan, Sherry Ibrahim, Beego, Datuk Jalaluddin Hassan, Dynas Mokhtar dan Afifah Nasir.

Ia sedang disiarkan menerusi slot Tiara pada setiap Isnin hingga Jumaat, 6 petang di Astro Prima dan Maya HD.

Bagaimanapun kata Zarul, dia yakin penonton sudah dapat membezakan realiti dan lakonan kerana apa dipaparkan dalam drama 70 episod itu tidak menggambarkan siapa dirinya yang sebenar.

"Insya-Allah saya tidak akan berpoligami. Saya sayangkan isteri saya," katanya.

Dalam pada itu, Zarul berkata, dia berasa kekok ketika awal-awal penggambaran drama itu kerana perlu melakonkan babak romantik.

Walaupun aktif berlakon, Zarul tetap menerima undangan nyanyian.

Kata Zarul, selain berasa segan dia juga tidak yakin dapat melakukannya namun bernasib baik mendapat bimbingan dalam kelas lakonan bersama pelakon dan pengarah Elly Suriati.

"Memang kekok betul nak jayakan babak romantik tetapi apabila mengambil kelas lakonan dengan Elly rasa yakin itu mula ada.

"Elly banyak membantu dalam membina keyakinan selain menyelamai peranan sebagai Daniel memandangkan watak itu bukannya mudah kerana beristeri dua.

"Tetapi saya sentiasa masukkan dalam otak dan jiwa bahawa Daniel adalah orang lain dan Alhamdulillah ia semakin mudah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Zarul berkata, walaupun sibuk dengan lakonan namun dia tidak meninggalkan karier nyanyian malah katanya, dia bakal muncul dengan lagu baharu pada tahun hadapan.

Zarul Husin, Syurga Yang Kedua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain