suria

“Tak Minum Tak Apa, Tiada Niat Sindir Elyana” – Vida

Vida tiada niat sindir Elyana.

PENGASAS kosmetik Datuk Seri Vida menjelaskan soalan yang ditujukan kepada Aishah semasa pentas separuh akhir Gegar Vaganza (GV) malam Ahad lalu, bukanlah berniat menyindir penyanyi Elyana.

Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, 46, berkata dia hanya ingin mendapatkan kepastian sama ada Aishah benar-benar menggunakan produk Pamoga keluaran syarikatnya itu atau tidak.

"Semasa program bersiaran langsung, saya tanya Aishah dia guna produk saya itu atau tidak, sebab saya mahu kepastian dan jawapan jujur.

"Saya bukan perli Elyana atau sesiapa, saya tidak bermaksud begitu dan hanya mahu dapatkan maklum balas yang jujur daripada pengguna," katanya kepada mStar Online.

Vida bertanya kepada Aishah sama ada dia mengamalkan produk syarikatnya atau tidak.

Vida ditemui selepas sidang media Konsert separuh akhir GV yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu.

Terdahulu, Elyana melalui siaran langsung Instagram miliknya minggu lalu mendedahkan tidak menggunakan produk kesihatan keluaran Vida.

Malah, pengakuannya mengamalkan produk tersebut hanyalah untuk menjaga hati Vida selaku penaja.

Dalam rakaman itu juga, Elyana seakan-akan berkecil hati dengan sikap 'cakap lepas' yang dituturkan Vida semasa GV bersiaran langsung.

Penyanyi lagu Kalis Rindu itu tersingkir pada minggu kelima GV.

Elyana mendedahkan dia tidak pernah cuba produk keluaran syarikat Vida.

Sementara itu, Vida berkata, dia tidak mengetahui punca Elyana meluahkan perasaan tersebut di Instagram.

"Saya tak sempat lagi nak tengok rakaman video tersebut tapi saya rasa tak ada pula sakitkan hati dia sepanjang GV ini.

"Kalau Elyana jujur beritahu tidak menggunakan produk saya pun tidak apa, saya tak kisah kerana ramai yang sudah mendapat manfaatnya," kata Vida.

Dalam pada itu, Vida mengakui dia tidak terasa hati dengan luahan Elyana di laman sosial tersebut.

Malah, dia mendoakan penyanyi itu cepat sembuh dan dipermudahkan segala urusan.

"Saya tak kecil hati dengan komen Elyana. Saya faham, orang sedang menanggung kesakitan ni kadang-kadang ada emosi sikit.

"Bagaimanapun, saya doakan dia cepat sembuh dan dipermudahkan menjalani kehidupan harian," ujarnya positif.

Vida, DSV, Elyana, GV4

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain