suria

Kekasih Erry Putra Cikgu Sekolah

Erry sudah bersedia dan mempunyai perancangan untuk berkahwin.

PELAKON dan penyanyi Erry Putra mendedahkan bahawa bertemu pertama kali dengan kekasihnya yang merupakan seorang cikgu pelatih ketika membuat persembahan di sekolah wanita tersebut.

Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah @ Ahmad, 39 berkata dia sudah mengenali wanita berasal dari Perak itu semenjak dua tahun lalu.

"Saya sudah ada kekasih dan dia berasal dari Perak. Dia hanya orang biasa bukan bekerja dalam industri.

"Seorang cikgu pelatih di sebuah sekolah. Saya jumpa dia pun ketika membuat persembahan di sekolahnya," kata Erry kepada mStar Online.


Erry bergandingan dengan adiknya Syafiq Putra menerusi lagu Aku Tahu. Foto: RICKY LAI.

Erry ditemui ketika majlis pelancaran single terbaru dia bersama adiknya, Syafiq Putra berjudul Aku Tahu di Vilej Damansara pada Selasa.

Tambah Erry, dia sudah bersedia dan mempunyai perancangan untuk berkahwin namun masih menunggu kekasihnya untuk habis belajar.

"Saya dah bersedia untuk berkahwin tapi dia belum lagi. Perancangan kahwin itu ada tapi mungkin dalam setahun atau dua tahun lagi.

Erry dan Syafiq Putra.

"Dia masih dalam latihan sebagai cikgu dan saya masih menunggu dia," ujarnya.

Kata Erry, sebelum ini juga dia pernah hampir mengikat tali pertunangan dengan bekas kekasih namun tidak kesampaian.

"Saya pernah hampir nak bertunang dengan bekas kekasih. Tapi tak jadi.

"Mungkin tidak ada jodoh antara kami," katanya.

Dalam perkembangan karier nyanyian, Erry memilih adiknya sendiri Syafiq untuk bergandingan menerusi lagu terbaru mereka.

Dia mahu memperkenalkan Syafiq kepada dunia industri muzik memandangkan mereka kerap melakukan persembahan bersama.

"Saya saja pilih adik sendiri bergandingan dalam lagu terbaru ini. Sebab kami selalu sangat membuat persembahan bersama.

"Alang-alang tu juga, saya nak memperkenalkan bakat nyanyian Syafiq dalam dunia muzik tanah air," kata Erry.

Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan penuh Jonathan dari syarikat rakaman Macam Macam Music yang beroperasi di Sabah.

Erry Putra, Syafiq Putra, Aku Tahu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain