suria

Rahmat Kerana Awet Muda - Syafie Naswip

Syafie tidak kisah menerima tawaran yang sama. Foto: FAIHAN GHANI.

PELAKON Syafie Naswip berkata, dia tidak kisah jika sekadar ditawarkan watak sebagai remaja dalam drama atau filem.

Menurut Syafie, 25, sebagai pelakon dia tidak memilih watak yang diberi meskipun kerap kali mendapat tawaran yang sama.

"Saya tak kisah tentang itu, apa yang penting penonton dapat apa yang kita sampaikan dalam karya tersebut.

"Jika wajah dan saiz fizikal membuatkan watak saya tidak berkembang, kenyataan itu agak tidak adil untuk seseorang pelakon.

"Ia seolah-olah menyekat kebolehan pelakon tersebut," katanya kepada mStar Online.


Barisan pelakon filem Jibam.

Syafie ditemui pada tayangan perdana filem Jibam yang diadakan di MM Cineplex eCurve, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Selain Syafie, filem tersebut turut dibintangi oleh Ariff Abdullah, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Filem yang diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 7 Disember ini.

Syafie Naswip.

Sementara itu, Syafie berasakan dikurniakan saiz badan dan wajah 'awet muda' turut memberi kelebihan kepadanya suatu hari nanti.

"Memiliki wajah dan fizikal nampak muda sebegini merupakan satu rahmat kepada saya. Mungkin ada rakan-rakan pelakon sebaya sudah diberi peluang membawakan watak seorang bapa, sedangkan saya masih dengan karakter budak sekolah dan remaja.

"Bagi saya, hal itu bukan satu masalah kerana apabila memasuki usia 30 tahun nanti watak itu sesuai untuk saya pula, kiranya wajah dan fizikal saya tak makan usia lah," selorohnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Mukhsin ini memegang pesan pengarah Allahyarham Yasmin Ahmad yang mahu dia sentiasa mencuba apa sahaja watak yang diberi.

Malah, pesanan dan ingatan yang diberi pengarah tersebut menjadi panduan dalam hidupnya.

"Sejak mula bergelar pelakon 12 tahun lalu, saya tak memilih watak. Apa sahaja yang diberi saya ambil saja.

"Saya masih ingat pesan Yasmin Ahmad, dia kata apa sahaja yang nak buat dalam hidup, buat betul-betul.

"Katanya, kalau sesebuah filem itu nampak kurang bijak, bukan salah filem tersebut tetapi pelakon yang menyebabkan filem jadi begitu," katanya.

Syafie Naswip

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain