suria

Tua Tak Sedar Diri? Sherrie Sedia Jawab

Sherrie kembali dengan single terbaru berjudul 'Sorang Wanita' pada usianya 58 tahun. Foto: Mohd Faihan Ghani

PENYANYI lama, Sherrie Al-Junied yang kembali memeriahkan industri seni dengan single Sorang Wanita tidak kisah sekiranya digelar artis tidak sedar diri kerana penampilan dan gaya muzik yang dibawanya.

Sherrie atau nama sebenarnya Sharifah Nor Syed Mohd. AlJunied, 58, berkata, imej muda dan energetik yang cuba ditampilkan adalah dirinya yang sebenar dan dia tidak akan tunduk dengan tohmahan masyarakat.

"Semua orang ada hak untuk bercakap. Biarkan mereka. Saya tahu apa yang saya buat.

"Tidak semua orang akan suka kita, tapi saya akan tetap jadi diri saya," katanya kepada mStar Online.

Sherrie tidak hirau kritikan ramai dan hanya mahu menjadi diri sendiri. 

Sherrie kini dalam rangka promosi single Sorang Wanita yang dilancarkan pada 2016.

Menurut Sherrie, dia mahu menyampaikan mesej positif kepada pendengar melalui single itu.

Dia yang juga pengamal pengubatan dalaman (reiki energi healing master) yang bertauliah ingin menyuntik inspirasi kepada orang ramai dan membuktikan usia bukan penghalang untuk membuat apa yang diminati.

Sherrie mahu buktikan kepada semua usia bukan penghalang. 

"Lagu ini adalah inspirasi kepada orang tua dan muda untuk jadi sihat macam saya.

"Saya juga nak buktikan pada semua orang yang saya boleh lakukan apa yang saya minat walaupun sudah berusia," ujarnya lagi.

Ketika diajukan soalan mengenai sambutan terhadap lagu tersebut, Sherrie berkata, dia tidak kisah sekiranya sambutan tidak menggalakkan.

Katanya lagi, apa yang penting adalah mesej yang dibawa dalam lagu tersebut berjaya sampai kepada pendengar.

Melalui pertaruhan terbaru itu, dia turut mengeluarkan edisi kedua Sorang Wanita yang menampilkan rap dari Altimet.

Ujar Sherrie, dia gembira dapat bekerjasama dengan penyanyi rap itu.

Dalam pada itu, dia juga sedang mengusahakan dua lagu baru yang dijangka akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

Sherrie Aljunied

Artikel Berikut

Nina Nadira Dilihat Sombong

Artikel Lain