suria

FFM29: Zizan Razak Galas Tanggungjawab Sebagai Hos

Zizan diberi tanggungjawab sebagai pengacara malam Festival Filem Malaysia yang ke-29.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak terkenal Zizan Razak bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos utama pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) yang akan diadakan pada 23 September ini.

Pada acara itu, Zizan, 33, bakal bergandingan dengan tiga pelakon jelita iaitu Nabila Huda, Elizabeth Tan dan Thanuja menerusi beberapa segmen.

Zizan ketika ditemui berkata, dia teruja diberikan peluang mengendalikan acara berprestij itu dan akan memberikan yang terbaik pada malam itu nanti.

"Gementar itu memang ada kerana ia sebuah acara besar tetapi saya ambil tanggungjawab itu dan akan melakukan yang terbaik.

"Tambahan pula saya akan digandingkan dengan tiga lagi rakan yang akan memeriahkan lagi majlis itu," katanya.

FFM29 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, sebanyak 53 buah filem diterima oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk dipertandingkan pada FFM29 tahun ini.

Ketua Pengarah FINAS yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk FFM29,  Datuk Fauzi Ayob berkata, daripada jumlah itu pihaknya menerima 41 buah filem berbahasa Melayu, enam (Mandarin), lima (Tamil) dan selebihnya berbahasa Inggeris.

"Penjurian pula menjalani dua peringkat iaitu pada peringkat awal bermula dari  4 hingga 11 September 2017 dan peringkat kedua pula pada 12 hingga 19 September.

"Bagaimanapun seperti yang diwar-warkan sebelum ini, calon lima terbaik hanya akan diumumkan pada malam kemuncak FFM29 nanti," katanya.

Bagi menampilkan kelainan, Fauzi berkata, Finas akan membawa kelainan dengan memberi fokus kepada program pembangunan untuk modal insan berkaitan industri filem.

“FFM29 bukan hanya untuk berseronok tetapi perlu juga diserapkan keilmuan yang boleh ditingkatkan seperti kreativiti dan idea.

"Justeru, Finas akan membawakan pakar-pakar filem dari India dan Amerika Syarikat menerusi kelas istimewa sinematografi pada 18 hingga 22  September di Studio Sound Stage di Finas.

"Selain itu, Finas juga akan mengadakan apresiasi karyawan muda ke atas dua filem yang juga laris di pawagam dan menembusi festival filem antarabangsa iaitu Munafik dan Polis Evo," katanya.

Tambah Fauzi, tokoh filem tempatan, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin juga akan menjadi sebahagian daripada program imbas kembali dalam Layar Bintang bagi mengupas falsafah dan pemikirannya dalam pembikinan filem.

Bertemakan 'Transformasi Citra Karya', FFM29 turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular antaranya KRU, Aisyah Aziz, Mirwana, UNIC, Salamiah Hassan, Atilia, Shiha Zikir dan Akim & The Majistret.

FFM29 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD  (123) pada pukul 9 malam.

Selain Finas, acara itu turut mendapat kerjasama persatuan-persatuan perfileman Malaysia dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Antara persatuan terlibat ialah Persatuan Penerbit Filem (PFM), Seniman, Karyawan, Profima dan Gafim.

Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) turut bekerjasama sebagai rakan promosi untuk  memeriahkan promosi berkaitan FFM29.

Zizan Razak, FFM, WHAM

Artikel Lain