suria

Jangan Tanya Noh Soal Anak

Noh Salleh tidak mahu tertekan dengan soalan mengenai cahaya mata.

PENYANYI Noh Salleh memberitahu hati lelakinya mudah terusik apabila sering diajukan soalan berhubung cahaya mata.

Noh yang juga suami kepada penyanyi Mizz Nina berkata, dia sentiasa menantikan rezeki cahaya mata dan berdoa agar dikurniakan zuriat.

"Saya tak tertekan tentang soal anak cuma bila orang tanya baru ada tekanan tu, lebih-lebih lagi bila kawan-kawan dah ada anak.

"Tak mahulah ditanya soalan ini lagi, rasa macam nak menangis, pinta saya doakan semoga kami dimurahkan rezeki ya," katanya kepada mStar Online.

Noh ditemui pada sidang media Jelajah Album Angin Kencang di pejabat Warner Music di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Noh Salleh dan Mizz Nina bahagia melayari alam rumah tangga.

Noh dan Mizz Nina berkahwin pada 1 Julai 2011.

Selepas pernikahan itu, dia dan Mizz Nina sering ditanya bilakah mereka akan mendapat cahaya mata selepas enam tahun menjadi suami-isteri.

Dalam pada itu bercakap mengenai album terbaharunya itu, Noh memberitahu ia adalah lanjutan daripada album EP dari judul sama yang pernah dilancarkan pada 2014.

Akui Noh, dia menghasilkan album itu untuk kepuasan diri sendiri selain untuk peminat yang benar-benar menghargai karya muzik yang dihasilkannya.

"Saya tak marah kalau ada orang tak suka album ini dan saya akui ia memang album syok sendiri.

"Kalau ikutkan perancangan album ini hanya mahu diedarkan di Indonesia kerana di sana orang masih mencari album fizikal," katanya.

Noh akan mengadakan siri Jelajah Album Angin Kencang di beberapa buah lokasi di Malaysia.

Album mengandungi sembilan buah lagu merupakan pakej semula dengan pembaharuan pada kulit album dan penambahan tiga buah lagu baharu iaitu Renjana, Mr.Polia dan Sarawak.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan akan mengadakan siri Jelajah Album Angin Kencang di beberapa buah negeri.

"Insya-Allah, saya bersama mobile truck tajaan RedBull Malaysia akan menjelajah beberapa lokasi dan peminat boleh mendapatkan album tersebut.

"Selepas ini perancangan kami untuk menjelajah Indonesia dan Jepun pula," katanya.

Jelajah Album Angin Kencang akan bermula di selatan iaitu di Pasar Karat, Johor Bharu pada 17 September dan Taming Sari, Melaka (14 September).

Manakala, di Utara pula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang (16 September) dan Gerbang Malam Ipoh (17 September).

Noh Salleh, Mizz Nina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain