suria

Dah Dua Kali... Fauziah Nawi Minta Maaf

Fauziah Nawi mohon maaf kepada keluarga penyanyi Saleem.

INI sudah dua kali... kedua-duanya tidak disengajakan.

Menyedari kesilapan itu, primadona Fauziah Nawi memohon maaf kepada keluarga penyanyi Saleem ekoran kekhilafan terbaharunya berkongsi info daripada pihak ketiga kononnya vokalis kumpulan Iklim itu sudah meninggal dunia.

Fauziah, 64, berkata, tindakannya itu berlaku secara spontan kerana dia berasa sedih mendengar perkhabaran diterima kerana Saleem adalah rakannya.

"Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada keluarga Saleem atas kesilapan saya dan semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perkongsian saya itu.

"Salah saya tidak membuat semakan terlebih dahulu sama ada sesuatu berita saya terima itu benar atau pun tidak.

"Apabila terima berita sedih berkaitan kematian memang saya terus kongsi di Facebook tambahan pula kalau individu itu adalah rakan saya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Perkongsian Fauziah yang mendapat kritikan netizen.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, kejadian itu membuatkan dia serik untuk berkongsi sebarang maklumat di laman sosialnya pada masa hadapan.

"Sebelum ini pun teruk saya kena hentam kerana berkongsi maklumat daripada pihak ketiga kononnya penyanyi Zur Eda meninggal dunia.

"Namun saya sudah pun memohon maaf kepada Zur Eda sendiri dan nampaknya kejadian serupa masih berlaku.

"Selepas ini saya tidak akan lagi berkongsi apa-apa juga info yang saya terima sama ada ia benar atau pun sebaliknya," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, wartawan mStar Online, Niezam Abdullah yang menziarahi Saleem atau nama sebeanrnya A. M. Salim Abdul Majeed, 56, pada Jumaat mendapati penyanyi itu berada dalam keadaan stabil namun sukar untuk bercakap.

Isteri Saleem iaitu Julia berharap tiada lagi pihak menyebarkan berita tidak benar tentang suaminya.

Dia kini mendapatkan rawatan pakar di Pusat Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras dan diberi rawatan khas.

Menurut isterinya Julia Bachok, pada asalnya Saleem didapati mempunyai ketumbuhan pada bawah perut dan seterusnya virus penyakit itu merebak ke bahagian paru-paru.

Saleem dijangka menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu namun terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan keadaanya yang agak lemah.

Dalam pada itu Julia meminta agar orang ramai tidak terus membuat spekulasi tidak benar mengenai keadaan Saleem termasuklah fitnah penyanyi itu meninggal dunia.

"Saya sedih dengan berita itu (meninggal dunia) dan berharap semua pihak tidak menyebarkan perkara tidak benar," katanya.

Turut melawat Saleem ialah Presiden Persatuan Kayawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddiie Fernandez yang memberikan sumbangan ikhlas persatuan kepada Saleem.

Fauziah Nawi, Saleem (Iklim)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain