suria

Watak Wanita Hitam Timbul Kemarahan, Watson Hentikan Iklan Raya

Ruhainies antara selebriti yang membintangi iklan berjudul Lagenda Cun Raya yang diterbitkan oleh Watson.

PETALING JAYA: Tidak sampai 12 jam dilancarkan iklan sempena kempen Hari Raya Aidilfitri rangkaian farmasi Watson telah ditarik balik selepas menerima reaksi negatif netizen.

Iklan berjudul Legenda Cun Raya berdurasi 15 minit dilakonan barisan artis popular seperti Kamal Adli, Ruhainies, Uqasha Senrose, Raja Ilya, Sasha Saidin, Thanuja, Bell Ngasri dan Ember Chia itu dituduh mempunyai unsur perkauman dan diskriminasi terhadap warna kulit.

Video yang disiarkan awal pagi semalam menerima lebih 300,000 tontonan sebelum ia dipadam dari laman Facebook rasmi jenama itu.

Rata-rata netizen berang dan mempersoalkan tujuan Watson mengangkat isu perkauman serta merendahkan individu berkulit gelap. Malah, ia juga mengambarkan wanita sebagai objek yang perlu diadili oleh kaum lelaki.

Kamal Adli bawa watak utama dalam iklan tersebut.

Bagaimanapun, Watson dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada petang Rabu memohon maaf kepada netizen yang terkesan dengan video berkenaan.

Pengurus Besar dan Ketua Negara Watson Malaysia, Caryn Loh berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang niat buruk, sebaliknya diinspirasi daripada cerita lagenda Dayang Senandung yang turut pernah difilemkan.

"Kami memohon maaf terhadap video iklan Lagenda Cun Raya yang dilancarkan di media sosial pada Rabu. Video berdurasi 15 minit itu adalah inspirasi daripada cerita lagenda Melayu Dayang Senandong yang difilemkan pada tahun 1965.

"Kami juga sudah memadam video berkenaan dari laman sosial selepas mendapat maklum balas masyarakat secara umum," ujarnya. 

Video tersebut secara ringkasnya menceritakan tentang seorang Raja lakonan Kamal Adli sebagai watak utama, mencari gadis bersuara merdu dalam mimpinya.

Dalam acara itu beberapa gadis hadir mencuba nasib dan akhirnya Raja itu terpikat dengan suara seorang gadis berkulit gelap dan digambarkan sebagai hodoh.

Namun, Raja itu tetap juga mengahwini gadis itu atas dasar mengotakan janji.

Pada akhir video berkenaan, gadis itu sebenarnya sengaja menghitamkan wajahnya sebagai menguji keikhlasan Raja itu.

Gadis itu kemudian tampil putih semula selepas menggunakan produk Watson.

Bagaimanapun, tinjauan mStar Online mendapati beberapa artis yang berlakon dalam iklan tersebut masih mempromosikan video itu di laman sosial mereka.

Iklan Raya, Ruhainies, Kamal Adli, Watson

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain