suria

Fazura & Fattah Amin Bakal Berduet

Fazura dan Fattah Amin akan bergandingan dalam sebuah lagu bersama.

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Fazura mengumumkan dia bakal berduet dengan Fattah Amin menerusi lagu tema drama berjudul Hero Seorang Cinderella

Fazura, 34, berkata, pihak pengurusannya baharu mengesahkan  perkara tersebut dan mereka bakal memasuki studio rakaman dalam masa terdekat. 

"Ya, saya baru dapat pengesahan tentang lagu itu daripada pihak pengurusan pada hari ini. Saya dan Fattah akan menyanyikan lagu duet berjudul sama dengan drama tersebut iaitu Hero Seorang Cinderella. 

"Sepatutnya malam ini kami kena masuk studio untuk rakaman tetapi masing-masing sibuk. Insya-Allah dalam masa terdekat," ujarnya kepada mStar Online. 

Fazura ditemui pada majlis pelancaran muzik video terbaharunya berjudul Nothing Like Pag-Ibig yang diadakan di Red Box, The Gardens, Rabu. 

Dalam pada itu, tambahnya, lagu tersebut merupakan hasil karya penyanyi dan komposer Aizat Amdan yang sebelum ini mencipta lagu Wanita Terakhir untuk aktor Suri Hati Mr Pilot itu.

 Katanya, lagu yang bakal dinyanyikan itu bergenre pop dan mempunyai keistimewaan tersendiri. 

"Lagu dan lirik oleh Aizat, ia merupakan lagu genre pop. Selain lagu itu, lagu baru saya berjudul Bisa Apa turut akan menjadi lagu tema dalam drama ini," ujarnya. 

Sementara itu, bercerita tentang pengalaman berlakon dengan aktor sensasi itu, Fazura berkata, Fattah seorang pelakon berbakat. 

Tambahnya, dia bukan pelakon 'kayu' seperti yang didakwa segelintir pihak. 

"Fattah berlakon dengan baik dan ada bakat cuma dia masih takut nak cungkil lagi. Mungkin juga kerana dia sedikit terkesan dengan pendapat orang selama ini. 

"Saya minta dia luangkan banyak masa dengan saya ketika di set penggambaran supaya kami dapat keserasian sebagai pasangan kekasih. Bukan senang untuk dapat keserasian itu," ujarnya. 

Sementara itu, Fazura berkata, dia dan Fattah bakal ke Belgium bagi menyambung penggambaran drama tersebut pada 11 Mei ini. 

Drama Hero Seorang Cinderella sebanyak 24 episod itu akan mula ditayangkan pada 22 Mei depan di Astro Ria.

Fazura, Fattah Amin

Artikel Lain