suria

Khalifah Hubungi Mat Salleh Dendang Lagu 'Assalamualaikum Ustazah'

Khalifah sudah menonton video lagu Assalamualaikum Ustazah yang dinyanyikan kugiran tentera laut Amerika Syarikat sehingga menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

PETALING JAYA: Kumpulan Khalifah memberitahu sudah menonton video lagu Assalamualaikum Ustazah yang dinyanyikan kugiran tentera laut Amerika Syarikat sehingga menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Vokalisnya, Yabang atau Awang Sulong Oyong berkata, mereka juga sempat merakamkan sebuah video ucapan terima kasih kepada kumpulan yang menggelarkan diri mereka U.S Pacific Fleet Band 'Pipeline' kerana memilih menyanyikan lagu mereka.

Malah katanya, kumpulan itu juga membalas ucapan itu dan memberitahu menyukai Assalamualaikum Ustazah dan sering menyanyikan lagu itu setiap kali mengadakan persembahan pentas terutamanya di Amerika.

Yabang tidak menyangka ada kumpulan dari luar negara yang menyanyikan semula lagu Assalamualaikum Ustazah.

"Saya bersama ahli Khalifah memang teruja dan berterima kasih kerana mereka sering menyanyikan lagu kami dan terkejut juga saya apabila menonton nyanyian mereka yang cukup baik.

"Mereka juga sempat memberitahu saya yang mereka sukakan lagu itu dan sering menyanyikannya setiap kali mengadakan persembahan kerana ia sebuah lagu unik dan disukai penonton," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Video persembahan U.S Pacific Fleet Band 'Pipeline' itu menjadi tular di laman sosial sejak Jumaat lalu apabila ramai tertarik dengan nyanyian mereka menerusi lagu Assalamualaikum Ustazah.

Sehingga kini, video berdurasi dua minit itu mendapat lebih empat ribu perkongsian serta mencapai lebih 130 ribu tontonan.

Difahamkan video kumpulan itu menyanyikan lagu itu ketika mereka berkunjung ke stesen radio Cats.FM yang berpangkalan di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

US pacific Fleet Band hadir ke Malaysia bersempena program Eksesais Pacific Partnership 2017 (PP17) anjuran Kementerian Pertahanan pada Rabu (hari ini) di dewan Auditorium Pustaka, Sarawak.

Kumpulan kugiran itu dianggotai oleh Brent Mitchell (vokalis), Ray Lappoon, Trans Stanley, Mike DeLorean dan Paul Tomson.

Mereka juga sempat mengadakan persembahan di Experimental Theatre(Et) Faca, Universiti Malaysia Sarawak.

Sementara itu, Yabang menyifatkan Assalamualaikum Ustazah yang dinyanyikan kugiran itu bukti karya tempatan disukai masyarakat luar.

Yabang berkata, perjuangan Khalifah dalam mengangkat budaya Melayu menerusi lagu mula menampakkan hasil walaupun mereka diberi jolokan 'band kampung'.

"Saya sebenarnya memang tak menyangka ada kumpulan 'mat salleh' akan menyanyikan lagu Khalifah tetapi muzik bukti ia bersifat universal.

"Kesudian mereka membawakan lagu Assalamualaikum Ustazah adalah bukti karya tempatan yang kuat dengan budaya Melayu disukai oleh pendengar di luar negara.

"Jolokan 'band kampung' nampaknya ada hikmah dan inilah yang ingin kami ketengahkan sebenarnya iaitu keindahan budaya dan muzik orang Melayu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain