suria

Kemantapan Vokal Azharina Teruji di Showcase Hard Rock Cafe

Azharina teruja tatkala diberi peluang untuk melakukan persembahan di HRC Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Vokal mantap Juara Gegar Vaganza musim ke-3 (GV3) Azharina teruji menerusi showcase yang berlangsung hampir dua jam di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, di sini pada Ahad.

Azharina yang mengakui teruja kerana dapat membuat persembahan di situ menyifatkan ia umpama satu mimpi yang kini menjadi kenyataan.

"Seperti yang semua tahu, hanya artis  yang berkelas A sahaja berpeluang membuat persembahan di Hard Rock Cafe dan hari ini biarpun saya umpama semut kecil, saya berbesar hati kerana diberi peluang ini. Terima kasih Hard Rock Cafe Kuala Lumpur," katanya teruja.

Kemeriahan persembahan Azharina di HRC Kuala Lumpur.

Pada petang itu, Azarina Azhar, 32, menyampaikan lebih 10 rangkaian lagu termasuk beberapa lagu yang pernah dinyanyikan ketika menyertai GV3 dan lagu-lagu pilihan peminat.

Memanaskan pentas, artis kelahiran Bintang RTM 2001 ini membuka persembahan menerusi lagu bergenre dangdut berjudul Penasaran.

Antara lagu lain yang disampaikan ialah Seandainya, Kejoraku Bersatu (Search), Izinkanlah dan Mama Aku Ingin Pulang (Nike Ardilla) dan single terbaharunya berjudul Seribu Cinta.

Menerusi bahagian kedua, Azharina membawa lagu Rawan, Hotel California (Eagles), Sekian Terima Kasih dan Elegi Sepi sebagai lagu penutup.

Turut hadir memberi sokongan ialah rakan-rakan artis dari GV3 seperti Elly Mazlein, Zur Eda, Razis Ismail selain turut kelihatan ialah penyanyi Haleeda, Sahri dan Faradhiya.

Persembahan yang diringi pemuzik dari Patriot Band ini turut diserikan beberapa artis undangan seperti Kris Patt, Maisara Ukulele, Wali dan Calvin Clarks.

Kemuncak acara, turut berlangsung kejutan sambutan hari lahir penyanyi ini bersama bapanya.

Azharina, showcase

Artikel Lain