suria

Redha Menang Tiga Anugerah Di Festival Filem Rusia

Filem Redha memenangi tiga anugerah pada Festival Filem Antarabangsa Kazan yang berlangsung di Kazan, Rusia pada Isnin.

PETALING JAYA: Filem Redha arahan Tunku Mona Riza sekali lagi mencipta sejarah apabila memenangi tiga anugerah di Festival Filem Antarabangsa Kazan yang berlangsung di Kazan, Rusia pada Isnin.

Naskah berkenaan meraih dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Pengkritik Filem Rusia dan Anugerah Khas Pilihan Presiden Republik Tatarstan Untuk Kemanusiaan Dalam Sinematografi.

Redha turut membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh tiga peneraju utama karya tersebut iaitu Nam Ron, Harith Haziq dan Izzy Zulkhazreef.

Pada Julai lalu, Redha yang mengangkat kisah tentang kanak-kanak autisme turut memenangi dua anugerah di Festival Filem Filipina 2016 yang berlangsung di Manila, Filipina.

Filem itu meraih anugerah dalam kategori utama iaitu Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonan aktres Jun Lojong dan Anugerah Khas Juri.

Isteri kepada pelakon Namrom ini dipilih memenangi anugerah tersebut berdasarkan watak seorang ibu yang penyayang dalam menghadapi pelbagai cabaran membesarkan anaknya yang menghidap autisme.

Anugerah Khas Juri diterima oleh Tunku Mona yang berjaya mengetengahkan emosi dalam filem tersebut sehingga sampai kepada penonton.

Redha telah ditayangkan diseluruh pawagam Malaysia pada 14 April 2016 lalu dan diterbitkan oleh Current Pictures Sdn Bhd.

Filem ini turut menampilkan barisan artis Namron, Harith Haziq dan Izzy Reef sebagai kanak-kanak autisme, Nadiya Nisaa, Remy Ishak, Ruminah Sidek, dan Susan Lancester.

Dalam perkembangan sama, Redha turut tersenarai sebagai calon bagi Anugerah Merit di Festival Filem Kesedaran Los Angeles 2016 yang akan berlangsung pada 6 hingga 16 Oktober depan.

Redha

Artikel Berikut

Artikel Lain