suria

Wilma Dianggap Masih Berstatus Ibu Tunggal

Wilma Muhammad ingin kembali aktif sebagai pelakon selepas mendapat restu daripada suami dan anak-anaknya.
PETALING JAYA: Pelakon yang pernah popular menerusi filem Pasrah dan Ghazal Untuk Rabiah, Wilma Muhammad mengakui ada sesetengah pihak menganggap dia masih bergelar ibu tunggal walaupun telah berkahwin buat kali kedua selepas kematian suaminya, Mahir Effendi pada 2011.

Wilma, 43, berkata, tanggapan itu berlaku mungkin disebabkan dia jarang dilihat bersama suaminya itu memandangkan lelaki berkenaan jarang berada di Kuala Lumpur kerana menguruskan perniagaan di Pulau Langkawi, Kedah.

"Jujurnya masa saya berkahwin dengannya pun hanya keluarga terdekat yang tahu dan bukannya dibuat secara besar-besaran kerana ingin menjaga privasi keluarga suami.

"Memang ramai menyangka saya masih ibu tunggal kerana saya sering dilihat bergerak seorang diri tetapi sebenarnya saya sudah hampir lima tahun berkahwin dengan suami kedua.


Wilma bakal muncul menerusi dua telefilem terbaharu.
"Dia seorang yang low-profile selain kebanyakkan masa dia berada di Kedah kerana menguruskan perniagaannya," kata Wilma kepada mStar Online.

Bekas suami Wilma meninggal dunia di kediaman mereka di Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini pada 27 Januari 2011 akibat serangan jantung.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Raida Thaqifa, 14, Athira Inara, 12, Mahira Aqila, 10, Muhammad Yusof, 8 dan Umar Al Faruq, 7 tahun.

Wilma kembali berumah tangga buat kali kedua dengan seorang ahli perniagaan yang kini berusia 53 tahun pada 16 Jun 2012.

Dalam pada itu, Wilma berkata, dia mahu kembali aktif berlakon selepas mendapat kebenaran suami dan lima anaknya.

Wilma berkata, perasaan rindu terhadap bidang lakonan sentiasa menebal dalam dirinya namun sebelum ini tidak bersedia menerima sebarang tawaran kerana ingin memberi fokus kepada anak-anaknya yang masih kecil.

"Rindu hendak kembali berlakon itu sentiasa ada dan sekarang rasanya masa paling sesuai untuk kembali aktif kerana anak-anak pun semua sudah besar dan pandai berdikari.

"Jadi saya tidak bimbang jika keluar bekerja dan paling penting suami dan anak-anak memberi restu dan menggalakkan saya," katanya.

Dalam pada itu, Wilma berkata, dia bersyukur walaupun niatnya untuk kembali berlakon tidak diketahui ramai namun dia mula menerima pelbagai tawaran.

Malah dia sudah pun menyiapkan dua buah telefilem namun sebagai permulaan dia hanya mengambil peranan kecil.

"Saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama Pondok Itu Rumahku arahan Shuhaimi Lua dan Hey Misi arahan Nizam Zakaria yang dijangka ditayangkan dalam masa terdekat ini.

"Insya-Allah kalau ada tawaran lain saya akan terima kerana memang sudah bersedia untuk aktif berlakon," ujarnya.
Wilma Muhammad

Artikel Lain