suria

Perkahwinan Semakin Hampir, Tunang Pula Hidap Denggi

Hafiz bimbang kesihatan tunang.
PETALING JAYA: Penyanyi Hafiz Suip berasa bimbang apabila tunangnya Nureffy Jasreel, 22, terkena demam denggi dan ditahan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sejak Ahad lalu.

Hafiz atau nama sebenarnya,Mohd Hafiz Suip, 27,berkata, pelbagai perkara negatif yang terlintas difikirannya memandangkan majlis perkahwinan mereka akan berlangsung kira-kira sebulan lebih sahaja lagi.

“Ini merupakan dugaan paling berat apabila tunang saya ditahan di wad kerana demam denggi dan lebih membimbangkan saya platlet darah dia mencecah rendah sehingga 16 bpl (billion perliter).

“Saya sungguh risau sehingga bermacam-macam benda negatif bermain difikiran saya, maklumlah demam denggi ini sangat bahaya dan boleh membawa maut, majlis kami pula sudah tidak lama lagi sahaja,” ujarnya kepada mStar Online.



Hafiz dan tunangnya bakal mendirikan rumah tangga pada 14 Mei 2016.

 

Hafiz ditemui pada majlis pengumuman finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang diadakan di Menara Star, di sini, Khamis.

Tambah Hafiz, buat masa ini dia perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bakal isterinya itu supaya dapat pulih seperti sedia kala.

“Saya harap benar dia dapat sembuh dengan cepat, nasib baik juga persiapan perkahwinan kami diuruskan oleh keluarga, dan dia perlu berehat secukupnya selepas keluar hospital nanti,” ujarnya.

Hafiz dan Nureffy mengikat tali pertunangan pada 27 Februari lalu di kediaman wanita itu di Kuching Sarawak.

Pasangan yang bakal bernikah pada 14 Mei di Kuching, Sarawak, ini berkata, persiapan untuk majlis berkenaan sudah pun hampir 80 peratus selesai.

Dia akan mengadakan empat majlis iaitu majlis khatam Al-Quran, majlis berinai dan dua majlis resepsi iaitu sebelah lelaki dan perempuan.

“Kami akan mengadakan empat majlis dan daripada segi tajaan buat masa ini saya hanya ambil tajaan lokasi sahaja.

“Kalau boleh dari segi makan saya mahu keluar duit saya sendiri sebab kita beri makan untuk tetamu lebih afdal pakai duit saya sendiri daripada ambil tajaan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya perasaannya selepas tersenarai sebagai finalis kategori Penyanyi Terbaik Pilihan Online 2016 (APO2016), Hafiz berkata, dia bersyukur masih mempunyai peminat yang mengundi namanya biarpun tahun ini kerjaya nyanyiannya agak perlahan.

Katanya, ia juga platform yang baik untuk artis memberi peluang kepada peminat-peminat mengundi dan memberi penghargaan buat artis kegemaran mereka.

“Saya terkejut juga dipilih sebagai finalis dan ini satu penghormatan buat saya juga. Saya juga berterima kasih kepada peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya saya sejak bergelar anak seni,” ujarnya.

Hafiz Suip

Artikel Sebelum

Artikel Lain