suria

Peminat Zizan Razak, Siti Nordiana Berentap Raih Sokongan APO2016

PETALING JAYA: Kempen dilakukan kelab peminat artis menyaksikan Zizan Razak memenuhi ruang rangkaian media sosial menerusi hastag #APO2016 dalam usaha meraih sokongan dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016).

Kelab peminat Zizan iaitu Zizan's True Fans antara yang aktif merayu orang ramai agar mencalonkan artis itu yang tersenarai dalam tiga kategori iaitu Aktor Terbaik Pilihan Online, Selebriti Komedi Pilihan Online dan Ikon Niaga Muda Pilihan Online.

Sehingga 16 Mac lalu, Zizan Razak berada dalam kedudukan selamat menerusi tiga kategori berkenaan.

Promosi juga turut dilakukan di blog rasmi Zizan iaitu di http://www.zizanstruefans.com

Turut aktif berkempen ialah kelab peminat Siti Nordiana menerusi akaun Instagram Sitinordianafc.

Antara kapsyen di akaun Instagram yang mempunyai lebih 85 ribu pengikut itu meminta agar pengikut kelab peminat berkenaan yang belum membuat pencalonan supaya berbuat demikian menerusi kategori Penyanyi Terhebat Pilihan Online.

Beginilah kreatifnya peminat Ayda Jebat dan Siti Nurhaliza berkempen untuk kemenangan artis kesayangan mereka dalam APO2016.

Setakat 16 Mac lalu, Siti Nordiana menjadi artis terbanyak menerima pencalonan daripada penggemar media sosial.

Tidak ketinggalan peminat Datuk Siti Nurhaliza juga semakin gigih berkempen oleh kelab peminatnya iaitu Siti Zoners.

Siti Nurhaliza pada 16 Mac lalu berada pada kedudukan senarai finalis untuk Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online, Wanita Anggun Pilihan Dnars dan Ikon Fesyen Pilihan Online.

Bagaimanapun ketiga-tiga artis itu kini bersaing sengit apabila kempen melibatkan dua bintang baru iaitu pelakon Saharul Ridzwan dan Janna Nick mula memenuhi #APO2016.

"Undian untuk DFKL2016 sudah lama tamat... tapiiii... undian untuk APO masih lagi berlangsung... Jadi, apa tunggu lagi... jalankan tugas anda untuk mengundi pakkk,” kata pemilik Instagram myny_sotong14 yang berkempen untuk Saharul.

Dalam DFKL2016 Sabtu lalu, Saharul dan Janna Nick masing masing memenangi Aktor Hero Pilihan dan Aktres Pilihan. Mereka turut memenangi Pasangan Pilihan.

Pelakon Ayda Jebat yang selama ini menguasai kempen di media sosial bagaimanapun menunjukkan penurunan momentum dalam kempen dilakukan mungkin kerana peminatnya sudah yakin tentang kedudukan kuat aktres itu.


Kemenangan Janna Nick dan Saharul Ridzwan mengangkat populariti kedua-dua artis ini.

Ayda Jebat sebelum ini berada pada kedudukan kukuh menerusi Akres Terbaik Pilihan Online. Dia juga mendapat pencalonan dalam Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online dan Ikon Fesyen Pilihan Online.

Artis-artis lain yang turut mendapat sokongan peminat masing-masing untuk melakukan kempen ialah Mia Ahmad, Idris Khan, Siti Saleha, Wani Kayrie, Sharul (AF 2015) dan Nelydia Senrose.

Turut tidak ketinggalan ialah Amar Baharin, Amyra Rosli, Aman Aziz, Mia Sara, Najwa Latif, Ruhainies dan Didi Astillah.

Pencalonan awal APO2016 akan berlangsung sehingga 30 Mac ini sebelum finalis top five diumumkan bagi membolehkan pengundian dibuat yang akan bermula pada 1 April 2016.

APO2016 yang bertemakan Glam Digital dijayakan dengan kerjasama Suria FM dan dihebatkan oleh produk kecantikan Dnars.

Ia bakal menemui penonton pada 30 April depan menerusi saluran TV2.

Pencalonan awal yang masih lagi dibuka boleh dibuat menerusi laman rasmi http://apo.mstar.com.my

Hanya sekali pencalonan sahaja dibenarkan bagi setiap akaun media sosial manakala pada pengundian top five April depan pula, orang ramai boleh mengundi sekali pada setiap hari.

APO2016, Zizan Razak, Siti Nordiana

Artikel Lain