suria

Nelydia Senrose Rancang Sambung Pengajian Di London

Nelydia Senrose rancang sambung pengajian di luar negara.

KUALA LUMPUR: Pelakon Nelydia Senrose rancang ingin mengambil kursus jangka pendek dalam bidang psikologi di  London dalam masa terdekat ini.

Nelydia atau nama sebenarnya  Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, berkata sudah tiba masanya untuk dia memberi sedikit masa untuk fokus dalam pelajaran bagi menambah ilmu pengetahuannya.

"Saya masih muda dan banyak perkara yang harus diterokai. Saya tak mahu masa banyak dihabiskan dengan kerja-kerja lakonan sahaja.

"Lagipun bidang psikologi banyak kegunaannya dimana saya dapat berkomunikasi dengan baik dan dapat memahami orang di sekeliling saya ketika bekerja," katanya kepada mStar Online.


Nelydia mahu berjaya dalam pelajaran.

Nelydia ditemui pada majlis pra tonton super telefilem Strawberry & Karipap Hello Gold Coast di The Gardens Theatre di sini pada Rabu.

Bagaimanapun tambah adik kepada aktres Uqasha Senrose itu, dia masih lagi memilih masa yang sesuai memandangkan mata wang luar negara agak tinggi.

Sementara itu, mengenai super telefilem terbaharu itu, Nelydia berkata, agak mudah dia menghayati wataknya sebagai Aunty Lisa memandangkan ia merupakan kesinambungan supertelefilem Strawberry & Karipap Sesat Kat Paris.

Bagaimanapun, kata Nelydia dia melalui pengalaman mencabar di lokasi Warner Bro's Movie World di mana terpaksa melakonkan adegan menaiki beberapa permainan yang menakutkan.

Barisan pelakon Strawberi & Karipap Hello Gold Coast.

"Saya, Zizan Nin dan Zizan Razak perlu melakonkan salah satu babak di mana kami perlu bermain permainan yang menggerunkan dipanggil Batman.

"Sampaikan saya menangis ketika menjalani penggambaran tersebut. Luruh jantung dibuatnya," ujar Nelydia.

Strawberry & Karipap Hello Gold Coast, arahan Nizam Zakaria  akan mula bersiaran  pada 26 November 2015 di Astro First Eksklusif saluran 480.

Selain Nelydia, ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Nin (Pak Su Hairi), Zizan Razak (Bro Z), Mia Sara (Nini) dan Rykarl Iskandar sebagai Haikal.

Nelydia Senrose

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain