suria

Enggan Sentuh Wanita, Syarul Ridzwan Dukung Jurusolek Lelaki

Syarul Ridzwan FOTO RAJA FAISAL HISNAN
PETALING JAYA: Pelakon Syarul Ridzwan tepaksa mendukung seorang jurusolek artis lelaki untuk sebuah adegan drama Kau Aku Kita  selepas dia berhasrat untuk tidak menyentuh mana-mana wanita bukan muhrim.

Syarul atau nama sebenarnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, pengarah drama itu, Jinggo memberi kelongaran kepadanya untuk melakukan sesuatu babak dengan cara lain kerana menghormati prinsipnya itu.

"Ini bukan syarat tetapi prinsip saya tidak mahu berpelukan dan bersentuhan dengan wanita, ia juga perkara baru yang saya sedang belajar untuk didik diri saya sendiri.

"Alhamdulilah pengarah faham dan menghormati prinsip itu. Baru-baru ini dalam drama Kau Aku Kita, pengarah meminta saya mendukung jurusolek lelaki bagi mengantikan pelakon wanita iaitu Janna Nick dalam satu adegan drama tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Syarul berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sejauh mana prinsipnya yang tidak mahu adegan berpelukan dan bersentuhan dengan pelakon wanita.

Kau Aku Kita  bakal disiarkan di slot Lestari, TV3 tidak lama lagi.

Syarul Ridzwan (kiri) bersama Amar Baharin dalam Tenggelamnya Kapal Van Da Wicjk yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 12 hingga 18 Oktober ini.

Tambah Syarul, prinsip tersebut dipraktikkan bukan kerana selepas menunaikan umrah pada Ramadan lalu, sebaliknya selepas satu kejadian dalam drama berjudul Romie Cinta Julie.

Bagaimanapun, dia enggan berkongsi peristiwa yang membuatkan dia berazam mahu menjaga batasan bersama wanita ketika penggambaran.

“Dalam drama berjudul Romie Cinta Julia tahun lalu ada adegan berpelukan yang mana terjadi satu peristiwa yang membuatkan saya tidak mahu lagi bersentuhan atau berpelukan dengan wanita.

“Namun biarlah peristiwa itu saya rahsiakan," ujarnya. 

Syarul menambah, dia juga sedang belajar untuk mengamalkan prinsip tersebut ketika berada di luar terutamanya ketika bersalaman dengan wanita.

"Saya perlu istiqamah bukan sahaja ketika penggambaran, malah sedang belajar untuk cuba prinsip itu di luar. Kadang-kadang apabila wanita hulur tangan saya tersalam juga. Itu yang saya kata perlu istiqamah dan belajar sedikit demi sedikit," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syarul berkata, dia bakal mengadakan pertemuan dengan peminat-peminat drama popular lakonannya berjudul Hati Perempuan di Singapura.

Acara tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat Singapura yang memberi sokongan terhadap drama berkenaan yang sedang ditayangkan di negara itu.

“Saya dan Mia Ahmad bakal bertemu dengan peminat kami di Singapura pada 7 November ini. Ia sebagai tanda penghargaan kami terhadap mereka yang membantu menaikkan nama kami berdua,” ujarnya.

Selain itu, Syarul turut terlibat dengan pementasan teater Tenggelamnya Kapal Van Da Wicjk yang bakal dipentaskan pada 12 hingga 18 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Syarul Ridzwan

Artikel Sebelum

"Saya Bukan Diva" - Amy Mastura

Artikel Lain