suria

Jojie Tidak Akan Tinggalkan Kerjaya Urus Ella

Dari kiri, Ella, Jojie, Shahrizal dan Azhar. Foto RICKY LAI

PETALING JAYA: Kakak Ratu Rock Negara Ella, Jojie tidak akan meninggalkan kerjayanya sebagai pengurus kepada penyanyi itu biarpun sudah mendirikan rumah tangga.

Jojie atau nama sebenarnya, Rozita Aminuddin, 50, berkata, suaminya Syahrizal Ismail,36, tidak menghalang untuk dia terus menjadi tulang belakang kerjaya nyanyian adiknya itu.

"Saya akan terus menguruskan Ella dan Syah tidak menghalang apa yang membuatkan saya gembira.

"Syah juga menggalakkan dan suka dengan kerjaya saya ini, dia mahu saya terus aktif dalam industri biarpun selepas berkahwin," ujarnya kepada mStar Online.

Ella dan Jojie saling memerlukan antara satu sama lain.
Jojie selamat diijab kabul dengan pasangannya Syahrizal Ismail dalam sebuah majlis yang diadakan di Masjid Ara Damansara, di sini, malam Jumaat.

Pada majlis tersebut Jojie menerima mas kahwin sebanyak RM888, manakala wang hantaran sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, Jojie mengakui mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang selepas dua adiknya iaitu Ella dan Korie berkahwin terlebih dahulu.

"Saya tidak mahu melihat mereka bersendirian sebab itu saya ambil keputusan melepaskan mereka berkahwin dahulu.

"Selepas saya beritahu ingin berkahwin, Ella rasa sangat risau dan takut kami akan berpisah, tetapi saya yakinkan dia bahawa saya akan sentiasa ada jika dia memerlukan saya disisinya," ujarnya.

Dalam pada itu, Jojie turut memberitahu bahawa dia dan Ella merancang untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pasangan masing-masing pada tahun ini.

Jojie dan suaminya, Syahrizal

Bercakap tentang keistimewaan lelaki yang menjadi pilihan hatinya, Jojie berkata, Syahrizal merupakan seorang yang memahami dan matang.

Katanya, dia yakin Syahrizal merupakan seorang lelaki yang mampu membimbingnya dalam soal agama.

"Apa yang buat saya terpikat ialah dia sentiasa menjaga solatnya dan mengingatkan saya tentang waktu untuk bersolat.

"Dia juga faham tentang hubungan saya dan adik beradik yang terlalu rapat," katanya.

Sementara itu, Syahrizal berkata, Jojie merupakan wanita yang melengkapi kriteria perempuan patut dikahwini dalam Islam.

Katanya, sepanjang setahun perkenalan mereka, Jojie seorang yang sangat berdikari dan mempunyai pendirian sendiri.

"Dalam Islam wanita yang patut dikahwini ada empat iaitu, agamanya, rupa paras, keturunan dan harta.

Sepanjang kami berkawan saya perhatikan dia ada semua kriteria itu," ujarnya.

Pasangan ini turut merancang untuk berbulan madu di Switzerland selepas resepsi mereka yang dijangka diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri. 
Jojie, Ella

Artikel Lain