suria

"Bincang Hal Kahwin Selepas Ibu Balik Umrah" - Nelydia Senrose

PETALING JAYA: Pelakon Nelydia Senrose memberi ruang kepada ibunya untuk menunaikan umrah sebelum dia membuat keputusan mengenai rancangan perkahwinannya bersama Qi Razali.

Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, berkata, ibunya akan berangkat ke Mekah pada 29 Mei ini dan perbincangan mengenai hal kahwin akan dilakukan apabila ibunya pulang.

qi razali & nelydia
Qi Razali dan Nelydia Senrose

“Mama saya akan menunaikan umrah dalam masa terdekat ini jadi saya tidak mahu menggangu persiapan mama untuk ke sana.

“Apabila mama pulang dari menunaikan umrah nanti, InsyaAllah kedua-dua belah pihak keluarga akan berbincang dengan lebih lanjut,” katanya kepada mStar Online.

Nelydia ditemui pada majlis sidang media drama komedi bersiriStrawberi & Karipap Musim Kedua di Marmalade Café, Bangsar Village, di sini pada Selasa.

Drama komedi 13 episod arahan Nizam Zakaria itu masih mengekalkan Nelydia sebagai Aunty Lisa bersama pelakon lain seperti Zizan Nin, Mia Sara, dan Rykarl Iskandar.

Ia diterbitkan oleh Global Station.

Dalam pada itu, Nelydia berkata, dia juga mengirimkan doa kepada ibunya agar mendoakan hubungan dia dengan Qi Razali supaya terus kekal dan dapat disatukan sebagai suami-isteri.

Barisan pelakon Strawberi Karipap musim baru bersama pengarah drama itu Nizam Zakaria (kanan).

“Biar mama doakan jodoh saya apabila berada di sana dan jika ada jodoh maka adalah tapi saya rasa mama memang akan doakan untuk kebahagian anak-anaknya.

“Hubungan saya dengan Qi tiada masalah dan kami sudah lama berkawan jadi mesti kami mahukan ia berakhir dengan cerita indah dan bahagia,” katanya.

Selain itu, drama yang dilakonkan ini turut menampilkan kakak kepada Nelydia iaitu Uqasha Senrose dan pelakon cilik baru, Jelita Kako.

Drama ini merupakan gandingan kali kedua pasangan adik beradik ini dalam satu produksi dan cerita yang sama.

Drama komedi Strawberi Karipap musim kedua ini akan bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135).
Nelydia Senrose, Qi Razali

Artikel Lain