suria

Kenyataan Bercanggah! Apa Kes Cinta Akim & Stacy?

Stacy
KUALA LUMPUR: Ketika penyanyi Akim Ahmad, 24, sudah mencanang satu dunia mengenai cintanya terhadap Stacy, wanita itu pula tampil dengan membuat kenyataan tidak meletakkan harapan tinggi terhadap perhubungan mereka.

Kata Stacy, 25, hubungan mereka pada dasarnya masih di peringkat awal dan sukar untuk dia menjangkakan hala tuju hubungan tersebut pada masa hadapan.

"Hubungan kami sebenarnya masih di peringkat awal dan pada asasnya bukan saya yang mendedahkan perkara itu kepada umum.

"Sebab itu saya tidak terlalu bercakap soal cinta kerana saya sendiri belum tahu arah tuju hubungan kami ini," katanya kepada mStar Online.

Stacy ditemui pada sidang media program Ceria Popstar musim ketiga di The Bee, Publika di sini, Selasa.

Akim & Stacy
Akim dan Stacy akhirnya mengakui mereka pasangan kekasih.

Dalam pada itu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam berkata, dia masih belum melihat masa depan dalam hubungan mereka dan menyerahkan perkara itu kepada jodoh.

Bagaimanapun kata Stacy, dia tidak berhak untuk menghalang Akim daripada bercakap perkara tersebut kerana ia adalah pendirian pemuda itu.

"Sebelum ini pun bukan saya yang buka mulut tentang hubungan kami dan jika ada orang tanya, sebaiknya Akim yang jawab.

"Saya masih dengan pendirian sama untuk tidak terlalu mendedahkan perkara itu secara terbuka," ujarnya.

Akim sebelum ini telah membuat kenyataan rasmi mengenai percintaannya dengan Stacy dan sekali gus menamatkan spekulasi hubungan mereka.

Namun timbul pula desas-desus lain mengatakan faktor perbezaan agama antara penghalang hubungan berkenaan.

Sementara itu, bercakap mengenai Ceria Popstar, Stacy bakal bertindak sebagai tenaga pengajar bagi membantu peserta membina keyakinan diri.

"Saya akan cuba memberikan apa yang termampu menerusi pengalaman yang ada dalam membantu peserta dalam persembahan mereka," katanya.

Ceria Popstar musim ketiga bakal bersiaran menerusi episod pengenalan Tirai Ceria Popstar pada 24 April ini pukul 8.30 malam diikuti Diari Ceria Popstar pada hari dan waktu sama bermula 1 Mei depan.
Akim, Stacy

Artikel Lain