suria

Aiman Hakim Tolak Tawaran Filem Kerana Skrip Tiada Kualiti

Aiman Hakim
KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim terpaksa menolak tawaran berlakon filem yang diberikan kepadanya kerana skrip yang dihasilkan tidak berkualiti.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza, 25, berkata, dia kecewa kerana skrip yang diberikan bukan sahaja tidak bagus sebaliknya tidak menepati cita rasanya.

"Buat masa sekarang saya ada menerima beberapa skrip filem tetapi saya masih lagi melihat skirp yang benar-benar bagus untuk sesebuah filem,” katanya kepada mStar Online.

Aiman ditemui pada sidang media teater Y Sebuah Muzikal terbitan Gerakan Belia 4B Malaysia dan Belbis Sdn. Bhd di Istana Budaya di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Presiden 4b Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan Presiden Alumni 4B Malaysia, Senator Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Selain itu, Aiman memberitahu dia tidak memilih watak bagi setiap lakonan kerana pada pendapatnya, skrip yang bagus akan menghidupkan sesuatu watak yang diberikan.

Aiman Hakim (tiga dari kanan) bersama mereka yang terlibat dalam teater Y Sebuah Muzikal.

“Saya tak kisah soal watak yang diberi tetapi sebenarnya penceritaan di dalam skrip adalah yang lebih penting.

“Jika kita ada skrip yang bagus, watak boleh dikembangkan dengan lebih besar dan soalnya berbalik kepada skrip namun bukan pada watak,” katanya.

Dalam pada itu mengenai pementasan teater Y Sebuah Muzikal Aiman diberi peranan membawa watak Haikal iaitu seorang pemuda yang pulang ke kampung selepas tamat pengajian di bandar.

Ia memaparkan kisah hidup Haikal sebagai pemuda yang aktif dalam Persatuan Gerak Belia.

Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya selama sembilan hari bermula pada 22 Ogos depan arahan Khairunawan Rodzy.

Selain Aiman, pelakon lain yang turut terlibat dalam pementasan ini ialah Fathia Latiff dan pelakon baru Sarah Hilderband.

Tiket menyaksikan pementasan ini dijual dengan harga RM55, RM75, RM125, RM155, RM195 dan RM300.

Ia boleh dibeli secara dalam talian di www.redtix.airasia.com
Aiman Hakim

Artikel Lain