suria

Aksi Tikam Dalam 'Diari Wanita' Tidak Bahaya

Antara babak bermain dengan pisau oleh Amy Mastura dan Sherry dalma teater Diari Wanita.
KUALA LUMPUR: Beberapa babak menggunakan tiga bilah pisau dan aksi menikam perut pelakon Sherry AlHadad yang membawakan watak sebagai Nyonya dalam teater Diari Wanita...Episod YB & Nyonya tidak berbahaya.

Pengarahnya, Rosminah Tahir berkata, aksi tersebut adalah sekadar elemen komedi sambil menyelitkan beberapa mesej penting yang cuba disampaikan kepada penonton.

"Ia tidak berbahaya, walaupun kami menggunakan pisau sebenar, namun ia tidak tajam dan sudah dipastikan tidak mencederakan pelakon.

"Aksi itu juga sememangnya ada dalam naskhah Nyonya yang ditulis oleh penulis Indonesia iaitu Wisran Hadi dan kita menonjolkan aksi itu kerana ada mesej penting yang cuba disampaikan kepada penonton," ujarnya kepada mStar Online.

Rosminah ditemui selepas tayangan teater Diari Wanita Episod YB dan Nyonya yang dipentaskan bermula 11 hingga 16 Februari ini di Panggung Sari Istana Budaya, di sini, malam Rabu.

Dina dan Shahrul Mizad membawakan watak suami isteri.

Dua buah babak dalam segmenNyonya ada memaparkan aksi Keponakan Anggun yang dibawakan oleh Amy Mastura menggunakan pisau untuk mengugut Nyonya. Amy turut menikam beberapa kali perut Sherry menggunakan pisau tersebut tetapi tidak tembus.

Manakala sebuah babak lagi menampilkan aksi Amy, Juhara Ayob (Keponakan Beautiful), dan Zera Hariz (Keponakan Cantik) yang bermain dengan tiga bilah pisau untuk mengugut Nyonya bagi mendapatkan wang peninggalan datuk mereka.

Dalam pada itu, Rosminah berkata, aksi tersebut juga tidak mempengaruhi penonton terutamanya dikalangan kanak-kanak.

"Kanak-kanak bawah tujuh tahun tidak dibenarkan menonton dan yang tujuh tahun ke atas sudah tentu sudah boleh berfikir dengan baik.

"Pada saya mereka yang menonton sambil menghayati dialog keempat-empat pelakon itu yang memberi makna dan pengajaran disebalik aksi tikam menikam itu," katanya.

Nyonya merupakan pementasan kali keempat di Istana Budaya dan sudah tentunya mempunyai kelainan daripada segi watak utama yang dipegang oleh pelakon dan pengacara Sherry AlHadad.

Kehebatan Sherry dalam bidang teater tidak perlu dipertikaikan apabila setiap kali kemunculannya di pentas mengamatkan keadaan dewan Panggung Sari.

Tidak kurang hebatnya dengan pelakon-pelakon lain seperti Amy Mastura, Juhara Ayob dan Zera Haris turut mengundang gelak tawa penonton.

Selain itu, usaha produksi CTRA Production menggunakan latar set dan prob yang sangat menarik berbanding pementasan sebelum ini turut dipuji membuatkan penonton tidak bosan.

Nad Zainal membawa watak Setiausaha YB.


Sementara itu, teater berdurasi tiga jam itu turut mementaskan kisah kehidupan seorang wanita bergelar YB yang dilakonkan oleh Dayang Kartini Awang Bujang.

Manakala pelakon berbakat Nad Zainal juga tampil yakin membawakan watak Setiausaha YB yang memerlukannya banyak bermonolog.

Keupayaan Nad Zainal untuk bermonolog di atas pentas sememangnya sudah dijangka oleh pengarah apabila menukar watak tersebut daripada watak awal yang ditawarkan kepada pelakon itu iaitu Isteri.

"Pada awalnya kami menawarkan watak Isteri kepada Nad, tetapi selepas terdapat satu watak baru yang agak berat dan memerlukan seorang pelakon yang mempunyai asas dalam bidang teater kami terpaksa menukar watak itu kepada dia.

"Watak Isteri itu tidak terlalu sukar dan boleh dilakonkan oleh mana-mana pelakon dan yang saya risaukan ialah watak Setiausaha itu kerana jika tidak disampaikan dengan baik akan merosakkan jalan cerita," kata Rosminah.

Teater Diari Wanita Episod YB & Nyonya ini dibintangi oleh Sherry AlHadad, Amy Mastura, Nad Zainal, Juhara Ayob, Zera Hariz, Shahrul Mizad dan Dayang Kartini.

Manakala penyanyi Misha Omar akan membawakan watak Keponakan Cantik menggantikan Zera Hariz bermula pada 13 hingga 16 Februari 2015.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain