suria

"Tindakannya Belum Matang" - Neelofa

Neelofa berharap adiknya, Ameera mendapat pengajaran daripada tindakannya sebelum ini.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Neelofa menjelaskan tindakan adiknya, Ameera yang menggunakan bahasa kurang sopan sebagai respon bagi mempertahankannya di laman sosial Instagram adalah tindakan kurang matang.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 25, berkata, adiknya yang baharu sahaja berusia 14 tahun itu terlalu mengikut emosi dan perasaan tanpa menyedari kesan dan akibat daripada tindakannya.

"Saya faham perasaannya yang terluka kerana pihak luar mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap saya sehingga menyebabkan dia tidak dapat mengawal perasaan dan mengeluarkan kata-kata tersebut.

"Dia baharu sahaja 14 tahun dan tindakannya itu tidak matang namun ia adalah pengajaran bernilai buatnya pada masa hadapan," katanya kepada mStar Online.

Ameera bertindak mempertahankan kakaknya selepas pengikut di Instagram mempertikaikan tindakan Neelofa memuat naik gambar kepalanya dipegang oleh seorang lelaki yang dipercayai seorang Qari.

Bagaimanapun Neelofa dalam laporan mStar Online pada 29 Januari lalu menjelaskan lelaki berkenaan adalah saudara kepada bapa saudaranya yang berasal dari Pakistan dan mereka bertemu ketika hadir ke majlis perkahwinan sepupunya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Neelofa berkata, dia sebelum ini sering berpesan kepada adiknya agar tidak mencampuri sebarang urusan melibatkan dirinya kerana bimbang kesan terhadapnya.

Bagaimanapun kata Neelofa, dia tetap berasa kasihan terhadap Ameera kerana kritikan diberikan kepada remaja itu telah menyebabkan dia berasa trauma.

"Saya sudah beritahu sebelum ini jika kita layan kata-kata negatif di laman sosial sampai bila ia tidak akan habis.

"Mungkin ada hikmahnya kejadian tersebut kerana dia sudah dapat pengajaran agar tidak lagi mengulangi perkara sama," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa bakal bergandingan dengan Datuk AC Mizal, Nabil Ahmad dan kumpulan Jozan (Zizan Razak dan Johan) sebagai hos Anugerah MeleTOP Era 2015 yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 22 Februari depan.

Neelofa, Ameera.

Artikel Lain